am@hmetro.com.my
Jerantut: Penduduk Taman Woodland Jaya, di sini, terpaksa menahan bau busuk didakwa berpunca daripada tempat pembuangan sampah haram dilakukan sebuah pasar raya di kawasan terbabit.
Masalah itu bukan hanya menjejaskan kesejahteraan penduduk malah pemilik premis perniagaan termasuk sebuah restoran berhampiran pasar raya terbabit.
Isu itu mendapat perhatian sehingga tular di media sosial mengenai rungutan orang ramai mengenai bau meloyakan dari tempat pembuangan sampah.
Pelanggan sebuah restoran, Sulaiman Ab Samad, 51, berkata, dia hilang selera makan kerana bau tidak menyenangkan dibawa angin.
“Ini boleh menjejaskan perniagaan kedai makan kerana mungkin pelanggan tidak datang dan merugikan peniaga,” katanya ketika ditemui hari ini.
Seorang lagi pelanggan restoran, Bahriah Ramli, 60, berkata, bau busuk di kawasan itu lebih ketara pada waktu malam.
“Saya sering minum bersama anak di restoran berhampiran dan apabila angin bertiup, bau amat tidak menyenangkan menyebabkan pelanggan hilang selera.
“Kami berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah ini bagi menjamin kesihatan penduduk dan imej bandar Jerantut sebagai lokasi tumpuan pelancong,” katanya.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Harun berkata, rumahnya terletak kira-kira 20 meter dari lokasi sekali gus menerima kesan paling ketara.
“Sudah lama saya tidak buka pintu belakang dan lazimnya selepas hujan serta angin kuat membawa bau lebih kuat.
“Penduduk sudah membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab tetapi hingga kini tiada tindakan berkesan diambil,” katanya.
Katanya, bau itu disebabkan timbunan pelbagai jenis sisa pepejal termasuk sampah basah seperti sisa sayur dan bangkai ikan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd Daud berkata, beliau sudah meninjau kawasan itu selepas menerima aduan.
“Susulan aduan orang ramai, saya sudah melawat kawasan itu dan memang bau di lokasi terbabit tidak menyenang dipercayai berpunca daripada tempat sampah berkenaan.
“Masalah itu sudah dirujuk kepada Majlis Daerah Jerantut (MDJ) untuk tindakan segera.
“Saya juga mencadangkan pasar raya terbabit membina tempat buang sampah secara tertutup bagi mengelak bau busuk,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




