Bayangan kejatuhan Netanyahu, sejarah bakal berulang?

Bayangan kejatuhan Netanyahu, sejarah bakal berulang?

PILIHAN Raya Israel pada Selasa bakal menjadi medan penentu buat Benjamin Netanyahu, pemimpin yang sekian lama mendominasi landskap politik negara itu.

Selepas bertahun-tahun bermaharajalela, pemimpin ‘ekstremis’ itu kembali berdepan ujian besar yang berpotensi menjadi titik perubahan dalam perjalanan karier politiknya selama lebih dua dekad.

Namun, ancaman terhadap kedudukan Netanyahu bukanlah sesuatu yang baharu. Pada Jun 2021, beliau pernah kehilangan jawatan Perdana Menteri selepas 12 tahun berturut-turut berkuasa.

Gabungan parti pembangkang yang diterajui Naftali Bennett dan Yair Lapid ketika itu berjaya membentuk kerajaan baharu dengan kelebihan tipis, hasil undian 60 berbanding 59 di Knesset (Parlimen). Netanyahu terpaksa akur beralih ke bangku pembangkang.

Bagaimanapun, kejatuhan tersebut bukan pengakhiran buatnya. Pada Disember 2022, Netanyahu kembali menduduki kerusi Perdana Menteri selepas gabungan parti berhaluan kanan memenangi pilihan raya awal lalu membentuk kerajaan.

Selepas hampir empat tahun, Netanyahu sekali lagi berdepan persimpangan politik yang genting. Pengendalian perang, soal keselamatan dan hubungan tidak menentu dengan parti-parti sayap kanan terus membayangi kepimpinannya. Pada masa sama, kekecewaan penduduk Israel berpotensi menjadi faktor penentu di peti undi. Dalam keadaan ini, pilihan raya bukan sekadar persaingan antara parti malah boleh menjadi ukuran sejauh mana pengundi masih menaruh kepercayaan terhadap Netanyahu.

Namun, menyingkirkannya daripada tampuk kuasa bukanlah semudah memenangi undi popular.

Sistem pilihan raya Israel yang berasaskan perwakilan berkadar menjadikan pembentukan kerajaan bergantung pada keupayaan parti-parti politik membina gabungan yang memperoleh sokongan sekurang-kurangnya 61 daripada 120 kerusi Knesset.

Oleh itu, kemenangan blok pembangkang dari segi jumlah undi sekalipun belum tentu cukup untuk menjamin pembentukan kerajaan baharu.

Tanpa pakatan yang kukuh dan sokongan majoriti, usaha menamatkan pemerintahan Netanyahu mungkin sekali lagi menemui jalan buntu.

Lebih penting, berakhirnya pemerintahan Netanyahu tidak semestinya membawa perubahan serta-merta terhadap dasar radikal Israel terhadap Palestin.

Peralihan kepimpinan mungkin membuka ruang kepada perubahan, namun tanpa anjakan dasar yang jelas, ia belum tentu membawa perbezaan ketara terhadap nasib penduduk Palestin. Persoalannya, mampukah Netanyahu mencipta magis sekali lagi?

Apa yang pasti, pilihan raya kali ini membawa implikasi yang jauh melangkaui perebutan kuasa. Keputusannya bukan sahaja bakal menentukan hala tuju politik Israel malah berpotensi mempengaruhi kestabilan rantau Asia Barat yang terus dibayangi konflik dan ketidaktentuan.

Netanyahu pernah tumbang, namun berjaya bangkit semula. Kini, beliau sekali lagi berdepan ujian untuk mempertahankan legasi yang dibina selama lebih 20 tahun atau terpaksa akur bahawa kepimpinannya sudah sampai ke titik noktah.

Scroll to Top