JAKARTA – Kementerian Kesihatan (Kemenkes) Indonesia memberi penjelasan setelah foto Menteri Kesihatan (Menkes), Budi Gunadi Sadikin yang menggunakan tabung oksigen ketika lawatan kerja ke Palangka Raya, Kalimantan Tengah pada Jumaat lalu tular di media sosial.
Kepala Biro Komunikasi dan Informasi Publik Kemenkes, Aji Muhawarman pada Ahad berkata, Menkes tidak mengalami sesak nafas dan beliau cuma memberi penerangan mengenai kemudahan disediakan untuk masyarakat bagi menangani kesan jerebu.
“Naratif yang tersebar di media sosial adalah tidak benar dan menjurus kepada maklumat palsu, fitnah dan kebencian. Beliau menggunakan pelitup muka KN95 sepanjang lawatan berkenaan.
“Kunjungan itu merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan kemudahan Rumah Oksigen milik MDMC dan Bas Oksigen milik pemerintah wilayah Kalimantan Tengah supaya penduduk yang mengalami masalah pernafasan akibat jerebu dapat memanfaatkan kemudahan berkenaan,” jelasnya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang memesongkan fakta.
“Marilah kita bersama-sama melindungi kesihatan penduduk yang terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah serta memastikan mereka mendapat rawatan dan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan,” katanya lagi. – Agensi



