Keliru sebab kurang penjelasan

Keliru sebab kurang penjelasan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Walaupun kaya dengan nilai sejarah dan estetika, tarian tradisional Melayu seperti ulek mayang, makyung, kuda kepang dan main puteri sering diselubungi stigma mistik dalam masyarakat moden.

Ramai yang beranggapan gerakan, muzik dan ritual dalam persembahan itu mengandungi unsur magik atau khurafat sehingga seni warisan ini kadangkala dipandang serong atau dijauhi generasi muda.

Akibat persepsi itu, kehalusan seni, cerita rakyat dan nilai moral terkandung dalam tarian berkenaan kerap terlepas pandang, meskipun ia sebahagian daripada khazanah budaya Melayu yang unik serta berharga.

Perkara itu diakui pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Che Mohd Nasir Yusoff, 71, atau mesra dikenali sebagai Pak Nasir yang berpandangan stigma itu berpunca daripada kurangnya pendedahan dan pemahaman masyarakat terhadap sejarah di sebalik tarian itu sendiri.

Katanya, kewujudan unsur spiritual dalam tradisi Melayu sememangnya diakui, tetapi penerangan yang kurang jelas menyebabkan masyarakat keliru sehingga timbul persoalan berkaitan halal dan haram.

“Benda itu memang ada, tetapi apabila penjelasan tidak tepat dan tidak nyata, masyarakat menjadi keliru dan disalah anggap sebagai pemujaan atau perkara yang tidak sepatutnya sedangkan hakikatnya tidak begitu,” katanya yang juga pakar wayang kulit.

Pak Nasir berkata, amalan dalam konteks tradisional lebih berfungsi sebagai doa dan permohonan perlindungan sama seperti dalam kehidupan seharian umat Islam yang membaca doa sebelum berwuduk, selepas solat dan berzikir.

Katanya, jika amalan ini disalah tafsir atau dilaksanakan tanpa panduan yang betul, ia boleh membawa kefahaman terpesong dan dilihat bercanggah dengan akidah.

Beliau turut menyentuh amalan buka panggung yang lazim dilakukan sebelum sesuatu persembahan yang masih diamalkan sehingga hari ini.

“Saya masih dipanggil untuk melakukan upacara ‘buka panggung’ sehingga hari ini dan ia dilakukan dengan ayat-ayat al-Quran dan bukannya melakukan pemujaan.

“Buka panggung bukan bertujuan memuja atau menyeru makhluk lain sebaliknya sebagai langkah memohon perlindungan supaya persembahan berjalan lancar serta tidak mengganggu pemain, pemuzik dan penonton,” katanya.

Menurutnya, masyarakat tradisional percaya kewujudan makhluk ghaib, namun dalam konteks Islam, perlindungan hanya dimohon daripada Allah SWT semata-mata.

“Dalam Islam, kita diajar untuk banyak meminta pertolongan kepada Allah SWT dalam apa juga keadaan. Bacaan ayat al-Quran dan doa adalah asasnya, bukan unsur pemujaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top