Bayi digelar 'Baby King' selepas rakaman video tular

Bayi digelar 'Baby King' selepas rakaman video tular

Kaherah: Bayi baru lahir mencuri perhatian pengguna media sosial apabila dirakam berbaring dalam posisi santai dengan sebelah kaki bersilang di atas kaki yang lain dan kedua-dua tangan diletakkan di bawah kepala, lapor Gulf News.

Aksi unik bayi itu yang seolah-olah sedang berehat tanpa sebarang tekanan mengundang pelbagai reaksi lucu dan rasa kagum dalam kalangan pengguna media sosial.

Video yang dikongsi seorang doktor di Kaherah itu memperlihatkan bayi berkenaan masih dilitupi vernix caseosa iaitu lapisan putih seperti lilin yang melindungi kulit bayi baru lahir.

Menariknya, bayi itu kelihatan selesa dengan sebelah kaki diletakkan di atas kaki yang lain manakala kedua-dua tangannya menjadi alas kepala, seolah-olah sedang menikmati waktu rehat.

Doktor berkenaan turut meletakkan kapsyen ‘Baby King’ pada rakaman itu, bersesuaian dengan gaya bayi berkenaan yang kelihatan tenang dan penuh keyakinan.

Rakaman itu mencetuskan pelbagai komen menghiburkan termasuk seorang pengguna yang menyifatkan bayi berkenaan seolah-olah sudah bersedia menjalani kehidupan tanpa tekanan sebaik dilahirkan.

“Bayi baru lahir ini tiba di dunia dalam keadaan sedia bebas tekanan,” tulis seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi pengguna pula berseloroh: “Saya baru lahir dan saya sudah penat. Saya perlu berehat.”

Ini bukan kali pertama bayi mencuri perhatian di media sosial kerana aksi luar biasa.

Pada tahun ini, seorang bayi lain turut tular selepas dilihat memegang stetoskop doktor beberapa minit selepas dilahirkan sehingga mencetuskan gurauan bahawa dia sudah memilih kerjaya sebagai doktor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top