Bayi dipercayai ditinggalkan selepas lahir – Polis

Bayi dipercayai ditinggalkan selepas lahir – Polis

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis sedang mengesan individu yang menyembunyikan kelahiran dan meninggalkan bayi cukup sifat serta masih bertali pusat di kawasan parkir surau Taman Universiti, Skudai di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, bayi itu ditemui pada 7.33 malam Rabu lalu oleh jemaah surau dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

“Bayi berkenaan kini dalam keadaan sihat. Polis percaya dia baru dilahirkan ketika ditemui jemaah berdasarkan keadaan masih ada tali pusat, dibalut dengan tuala.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nursyazwani Kamaruddin 017-7849034 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara 07-5561222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top