Seoul: Wanita berusia 30-an ditahan atas tuduhan membunuh anak lelakinya berusia lapan bulan, menurut kenyataan pihak berkuasa Korea Selatan, semalam, lapor The Korea Herald.
Polis Wilayah Gyeonggi Nambu memaklumkan bahawa suspek kini disiasat di bawah pertuduhan penderaan kanak-kanak yang mengakibatkan kematian.
Suspek mengaku memukul kepala mangsa dengan alat kawalan jauh televisyen pada 10 April lalu.
Mangsa dibawa ke hospital berhampiran di Bucheon, Wilayah Gyeonggi, sejurus selepas kejadian.
Doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan kepala yang parah termasuk keretakan tengkorak dan mencadangkan supaya bayi itu dimasukkan ke wad, namun ibu mangsa enggan membenarkan rawatan dan membawa anaknya pulang.
Pada 13 April, suspek sekali lagi membawa mangsa ke hospital yang sama selepas mendapati bayi itu tidak sedarkan diri di rumah. Mangsa disahkan meninggal dunia pada keesokan paginya.
Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mendapati ibu bapa mangsa sering meninggalkan bayi berkenaan sendirian selama beberapa jam.
Pada mulanya, suspek mendakwa mangsa cedera akibat terjatuh ketika mandi, namun kemudian mengaku melakukan penderaan ketika disoal siasat.
Polis menahan suspek dan bedah siasat awal oleh Perkhidmatan Forensik Kebangsaan mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan kepala.
Semasa soal siasat, suspek mengaku mendera mangsa kerana bayi itu tidak berhenti menangis dan enggan tidur.
Polis kini menyiasat bapa mangsa sebagai saksi bagi menentukan sama ada lelaki itu terbabit atau mengetahui serta membiarkan penderaan itu berlaku.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa mereka akan memohon perintah tahanan pada hari ini untuk menahan suspek secara rasmi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




