Nottingham: Sepakan penalti Chris Wood memastikan Nottingham Forest menewaskan Aston Villa 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama Liga Europa, awal pagi tadi.
Penyerang berusia 34 tahun itu tenang menyempurnakan sepakan pada minit ke-71 selepas pengadil menghadiahkan penalti susulan bola terkena tangan Lucas Digne ketika cuba menghalang percubaan Omari Hutchinson.
Jaringan itu memberi kelebihan tipis buat Forest menjelang aksi timbal balik di Villa Park pada 8 Mei ini.
“Kelebihan ini penting, tetapi perlawanan di tempat lawan pasti sukar. Kami sudah lakukan tugas di laman sendiri dan mahu teruskan momentum,” kata Wood.
Kedua-dua penjaga gol turut cemerlang dalam aksi itu apabila Stefan Ortega menafikan percubaan Morgan Rogers, manakala Emi Martinez melakukan aksi menyelamat penting daripada jarak dekat.
Pengendali Forest, Vitor Pereira memuji semangat juang pasukannya yang kini mencatat sembilan perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan.
“Ini kumpulan pemain yang istimewa. Dengan semangat yang ada, kami mampu bersaing di tahap ini,” katanya.
Forest kini selangkah ke final dengan pemenang pertemuan ini bakal berdepan Sporting Braga atau Freiburg di Istanbul pada 21 Mei ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




