SHAH ALAM – Syarikat peneraju global dalam teknologi pengukuran, Hexagon dan Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (NAICO Malaysia) menerusi kerjasama strategik berjaya menyelesaikan pemasangan sistem Presto Optium Hexagon di Makmal Bersekutu MyAERO, Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar (SMRI) Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini.
Pengarah Urusan Hexagon (ASEAN, Pasifik Korea dan Jepun), Frederick Lim berkata, sistem di Makmal Bersekutu MyAERO memperkenalkan keupayaan pengukuran dan simulasi termaju, mengukuhkan sokongan untuk kejuruteraan aeroangkasa berketepatan tinggi serta penyelidikan dan pembuatan.
Jelas beliau, apabila program aeroangkasa menjadi semakin kompleks, keperluan untuk ketepatan, kecekapan dan kebolehpercayaan terus berkembang.
Justeru, menurutnya, sistem Presto Optium Hexagon menangani perkara sedemikian bagi membolehkan adanya analisis kejuruteraan lanjutan merentas pengesahan reka bentuk, ujian prestasi dan pembuatan selain menyokong inovasi yang lebih pantas dengan kualiti dipertingkatkan.
“Hexagon berbangga dapat menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab aeroangkasa serantau yang terkemuka.
“Kerjasama erat antara industri, akademik dan badan nasional seperti NAICO Malaysia amat penting dalam mempercepatkan inovasi serta membina keupayaan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pemasangan sistem Presto Optium Hexagon juga menyerlahkan kesan kerjasama dalam mempercepatkan pembangunan industri.
Dilaksanakan melalui kerjasama dengan SMRI UiTM dan dipermudahkan oleh pelaburan serta fasilitasi NAICO Malaysia, inisiatif tersebut mengukuhkan hubungan antara akademik serta industri.
Ia membolehkan pusat MyAERO menyokong cabaran aeroangkasa dunia sebenar secara lebih baik sambil melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang berkaitan industri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia, Ir Ts Dr Shamsul Kamar Abu Samah memaklumkan, kerjasama dengan Hexagon mencerminkan komitmen berterusan pihaknya untuk mengukuhkan ekosistem aeroangkasa negara melalui perkongsian strategik.
“Penggunaan teknologi termaju seperti Presto Optium Hexagon di pusat MyAERO meningkatkan keupayaan kami untuk merapatkan industri dan akademik sambil menyokong pembangunan bakat serta aspirasi Malaysia untuk menjadi hab aeroangkasa terkemuka di rantau ini,” ujarnya.



