hazwanfaisal@mediaprima.com.my
KUALA LUMPUR: Berjaya Corporation Bhd (BCorp) bercadang untuk melupuskan beberapa asetnya bernilai RM2 bilion dalam tempoh dua tahun dan RM5 bilion dalam tempoh lima tahun.
Langkah itu adalah bagi mengurangkan separuh hutangnya kepada RM2.5 bilion daripada RM5 bilion ketika ini dalam tempoh tiga tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Jalil Rasheed, berkata
BCorp sudah mengenalpasti 60 syarikat dorman merentasi semua segmen perniagaannya.
“Kami merancang untuk sama ada melakukan penggabungan dan pengambilalihan (M&A), melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) atau melupuskannya. Kami sudah mengenalpasti semuanya dan akan mendedahkannya apabila tiba masanya nanti.
“Cadangan untuk pelupusan dan melakukan IPO yang berpotensi ini akan membabitkan pelbagai industri.
“Kami juga sudah menubuhkan sebuah pasukan untuk mengenalpasti cadangan ini bagi mengumpul wang dan melupuskannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya mengumumkan Pelan Transformasi Strategik BCorp untuk tempoh tiga tahun dari 2021-2024, hari ini.
Pelan strategik itu akan mengubah konglomerat sedia ada menjadi sebuah kumpulan pengguna yang menumpukan segmen perniagaan teras, yang setiap satunya diterajui ketua sektor masing-masing dengan pemantauan oleh CEO Kumpulan.
Lima segmen perniagaan akan disusun semula kepada peruncitan, makanan dan minuman, hartanah, hospitaliti dan perkhidmatan.
Mengulas mengenai pelan transformasi itu, Jalil berkata, beliau menghabiskan selama tiga bulan untuk mempelajari perniagaan BCorp dengan terperinci.
Katanya, pelan strategik itu adalah untuk menggariskan jurang yang ada pada kumpulan itu dan meningkatkan kekuatannya termasuk memantapkan jenama di sektor pertumbuhan.
“Proses ini akan mengoptimumkan sumber daya kami dengan lebih baik, meningkatkan sinergi dan kecekapan dalam kumpulan, dan meningkatkan tadbir urus dan ketelusan korporat.
“Ini seterusnya akan mengubah BCorp menjadi organisasi berprestasi tinggi dan menyerlahkan nilai perniagaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
