Toyota Vellfire majikan jadi 'teksi' ulat KLIA

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Sepang: Bukan miliknya, tetapi Toyota Vellfire kepunyaan majikan digunakan seorang lelaki sebagai ‘teksi’ tidak berlesen untuk mengambil penumpang di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Lelaki berusia 53 tahun itu ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor ketika menawarkan perkhidmatan ‘ulat’ kepada empat penumpang warga Myanmar dan Bangladesh, di sini, semalam.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, pemandu lelaki yang ditahan bukan pemilik kenderaan itu, sebaliknya menggunakan Vellfire milik majikannya.

“Kenderaan berkenaan didaftarkan sebagai kenderaan persendirian.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit memujuk dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada empat penumpang warga asing dari Terminal 2 KLIA ke beberapa lokasi sekitar Selangor.

“Perkhidmatan itu ditawarkan dengan kadar tambang RM80 bagi setiap penumpang dan bayaran dibuat apabila tiba di destinasi,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit adalah warganegara Malaysia dan mempunyai lesen memandu yang sah.

Katanya, kenderaan bersama pemandu terbabit ditahan dan disita untuk siasatan lanjut.

“Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

“Individu yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) akta sama,” katanya.

Mengulas modus operandi yang digunakan, beliau berkata, modus operandi ‘ulat’ dengan meletakkan kenderaan di kawasan parkir awam sebelum mengambil penumpang adalah kaedah yang sudah digunakan sejak sekian lama.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau membuat tempahan menerusi aplikasi e-hailing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top