KUALA LUMPUR – Pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) didakwa memberi kesan kepada perniagaan restoran apabila pelanggan kurang keluar berbanding kebiasaan.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak berkata, situasi itu menyebabkan kunjungan pelanggan ke restoran berkurangan.
“Apabila bekerja dari rumah, pelanggan tidak keluar seperti biasa dan ini memberi kesan kepada perniagaan.
“Namun mereka masih makan dan membuat pesanan, jadi ada peluang kepada perkhidmatan penghantaran. Jadi kesannya tidak begitu ketara,” katanya selepas Majlis menandatangani MoU antara Green Packet Berhad dan Presma di M Resort & Hotel di sini pada Khamis.
Terdahulu, pelaksanaan BDR sektor perkhidmatan awam Persekutuan di seluruh negara bermula pada 15 April namun urusan perkhidmatan kerajaan termasuk di kaunter masih beroperasi seperti biasa.
Dasar itu dilaksanakan sebagai langkah kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat dan terpakai kepada penjawat awam Persekutuan di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor serta semua ibu negeri yang tinggal melebihi lapan kilometer dari pejabat.
Bagaimanapun, pelaksanaan BDR tidak melibatkan sektor keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan selain jadual pelaksanaannya ditentukan mengikut negeri dan hari kelepasan mingguan (HKM) yang mana negeri dengan HKM Ahad melaksanakan BDR dari Selasa hingga Khamis manakala negeri dengan HKM Jumaat dari Isnin hingga Rabu.
Menurutnya, walaupun terdapat kesan terhadap perniagaan, keadaan itu tidak seteruk ketika pandemik Covid-19 yang menyebabkan banyak operasi restoran terjejas sepenuhnya.
“Ketika Covid-19, pelanggan langsung tidak boleh keluar akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi sekarang mereka masih boleh keluar walaupun bekerja dari rumah.
“Saya berharap keadaan ini hanya bersifat sementara dan pasti kerajaan mempunyai pertimbangan tersendiri dalam melaksanakan BDR,” jelasnya.



