BDR untuk sektor swasta perlu ambil kira keperluan operasi setiap organisasi

BDR untuk sektor swasta perlu ambil kira keperluan operasi setiap organisasi

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bekerja dari rumah (BDR) dalam sektor swasta perlu dilaksanakan secara fleksibel dan tidak boleh diseragamkan bagi semua industri.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pendekatan itu sememangnya relevan dalam keadaan semasa, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira keperluan operasi setiap organisasi.

Jelasnya, tidak semua sektor sesuai melaksanakan BDR sepenuhnya terutama industri yang memerlukan kehadiran fizikal seperti perkilangan, logistik dan perkhidmatan bersemuka.

“BDR adalah pendekatan yang praktikal, tetapi tidak boleh dilaksanakan secara satu kaedah untuk semua. Setiap industri mempunyai keperluan yang berbeza.

“Keputusan melaksanakan BDR perlu ditentukan oleh majikan berdasarkan kesesuaian perniagaan masing-masing,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, beliau mengakui tahap kesediaan syarikat khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih berbeza-beza.

Katanya, terdapat syarikat yang sudah mempunyai infrastruktur digital mencukupi, namun masih ramai yang berdepan kekangan dari segi teknologi dan kos pelaburan.

“Bagi PMKS, pendekatan lebih sesuai adalah pelaksanaan secara berperingkat dan bukannya secara menyeluruh.

“Ketika ini hanya sebahagian kecil syarikat swasta mengekalkan BDR sepenuhnya, manakala kebanyakan majikan beralih kepada model kerja hibrid,” katanya.

Menurutnya , model itu dilihat lebih praktikal kerana mengambil kira produktiviti, budaya kerja dan keperluan pelanggan.

“Sejak pandemik, ada syarikat yang meneruskan BDR kerana ia membantu penjimatan kos operasi, namun mereka tetap menilai keberkesanannya secara menyeluruh.

“Kejayaan pelaksanaan BDR bergantung kepada kesesuaian industri serta keupayaan organisasi,” katanya.

Katanya, majikan perlu diberi ruang untuk menentukan pendekatan terbaik bagi memastikan keseimbangan antara produktiviti dan kesejahteraan pekerja.

Menurutnya, kepentingan dasar dan garis panduan yang jelas turut diperlukan bagi memastikan pelaksanaan BDR berjalan lancar.

“Perlu ada penetapan waktu kerja, hasil kerja dan tahap akauntabiliti yang jelas supaya tiada kekeliruan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Che Aniza Che Wel berkata, tahap produktiviti pekerja yang melaksanakan BDR bergantung kepada sistem pemantauan yang dilaksanakan majikan.

Katanya, pengalaman semasa pandemik menunjukkan pekerja masih boleh melaksanakan tugas dari rumah, namun kawalan dan pemantauan perlu diperkukuh.

“Jika ada mekanisme pemantauan seperti tugasan harian, mingguan atau bulanan, dan pekerja dapat menyiapkannya dalam tempoh ditetapkan, produktiviti boleh meningkat.

“Kekurangan pemantauan boleh menyebabkan penurunan produktiviti kerana wujud ruang untuk pekerja tidak mematuhi waktu kerja sepenuhnya.

“Persekitaran di rumah juga memainkan peranan penting terhadap tahap tumpuan pekerja. Jika suasana rumah tidak kondusif, contohnya mempunyai anak kecil, ia boleh menjejaskan fokus dan prestasi kerja,” katanya.

Tambahnya, kepentingan disiplin diri dalam kalangan pekerja bagi memastikan tugasan dapat dilaksanakan dengan baik walaupun tidak berada di pejabat.

Menurutnya, pembuat dasar dan majikan perlu merangka kaedah yang jelas dalam mengawal disiplin serta memastikan pekerja mematuhi waktu kerja yang ditetapkan.

“Pelaksanaan BDR dalam sektor swasta dilihat sebagai satu pendekatan yang berpotensi, namun memerlukan keseimbangan antara fleksibiliti, pemantauan dan disiplin bagi memastikan produktiviti dapat dikekalkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top