mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal program berbasikal negara, John Beasley memilih untuk menangguhkan sebarang keputusan mengenai masa depannya sehingga tamat Sukan Asia Aichi-Nagoya pada Oktober depan.
Beasley berkata, fokus utama ketika ini adalah memastikan persiapan atlet negara berjalan lancar bagi menghadapi temasya terbesar Asia itu tanpa diganggu sebarang isu lain.
Menurutnya, segala perhatian perlu diberikan kepada pelumba negara yang sedang bekerja keras untuk mencapai prestasi terbaik menjelang kejohanan berkenaan.
“Saya tidak mahu memberi sebarang komen sehingga selepas Sukan Asia kerana itu adalah fokus utama kami ketika ini.
“Kami perlu meredakan segala ‘bunyi bising’ demi berlaku adil kepada para pelumba,” katanya.
Minggu lalu, jurulatih kelahiran Australia itu membayangkan kemungkinan tidak akan meneruskan kontraknya yang dijadual berakhir pada 31 Januari tahun depan.
Beliau dilaporkan semakin kecewa dengan beberapa isu termasuk politik dalaman, kerenah birokrasi serta kekurangan pembangunan akar umbi dalam sukan berbasikal negara.
Beasley yang sudah lebih dua dekad menabur bakti bersama skuad kebangsaan dianggap antara individu paling berpengaruh dalam pembangunan sukan berbasikal Malaysia.
Kariernya bersama skuad negara bermula sebagai ketua jurulatih pecut trek sebelum diberi kepercayaan memegang jawatan pengarah teknikal yang diperkenalkan secara rasmi tahun lalu.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam melahirkan ramai pelumba bertaraf dunia termasuk legenda berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang.
Dalam perkembangan sama, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Beasley pada awal minggu ini bagi membincangkan kedudukannya.
Amarjit semalam menyatakan keyakinan bahawa Beasley akan terus bersama skuad negara sekurang kurangnya sehingga penghujung tahun ini dan berkemungkinan masih memainkan peranan selepas itu dalam kapasiti yang berbeza.
Pada masa sama, beliau menegaskan jawatan Pengarah Teknikal perlu dikekalkan kerana dianggap penting dalam memastikan pembangunan berbasikal negara dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, profesional dan berterusan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




