hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beberapa jalan di sekitar ibu kota akan ditutup secara berperingkat sempena perayaan tahunan Masi Magam 2025 yang akan berlangsung esok.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dua kereta pedati akan bertolak dari Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, menuju ke Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S. Lee.
Katanya, perarakan itu dijadualkan bermula pada 5 petang dan akan berlangsung sehingga selesai.
“Laluan yang akan digunakan bagi perarakan itu bermula Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves – Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) – Jalan Sri Batu Caves – Jalan 46/10 – Jalan Sentul Pasar – Jalan Sentul – Jalan Tanah Lapang – Jalan Enam, Jalan Sentul.
“Jalan Sultan Azlan Shah (Jalan Ipoh) – Jalan Tuanku Abdul Rahman – Jalan Dang Wangi – Jalan Ampang – Jalan Leboh Ampang – Jalan Tun Perak – Jalan Pudu – Jalan Tan Cheng Lock – Jalan Sultan – Jalan Tun H.S. Lee dan tamat di Kuil Sri Maha Mariamman Temple Dhevasthanam,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, susulan itu, penutupan dan pembukaan jalan secara berperingkat akan dilakukan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) bagi memastikan kelancaran perjalanan perarakan berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan mematuhi arahan pihak polis yang bertugas.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan perarakan ini berlangsung dengan lancar dan selamat,” katanya.
Beliau berkata, sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd