Fandi lega kemarau kemenangan berakhir

Fandi lega kemarau kemenangan berakhir

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad lega selepas skuad itu akhirnya berjaya menamatkan kemarau kemenangan dalam saingan Liga Super selepas menewaskan PDRM FC 3-1, Sabtu lalu.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, kemenangan itu begitu bermakna bukan sahaja buat dirinya, malah semua pemain terutama menjelang final Piala Malaysia pada 12 April depan.

“Saya gembira dan lega kerana Sri Pahang akhirnya mencatat kemenangan selepas mengharungi lapan perlawanan liga tanpa kemenangan.

“Kejayaan menewaskan PDRM ini juga diharap memberi semangat dan motivasi kepada semua pemain untuk beraksi dengan lebih baik pada final Piala Malaysia nanti.

“Pada masa sama, saya turut memberikan peluang yang semua pemain untuk beraksi dalam saingan liga kerana dua pemain utama tidak akan beraksi pada final Piala Malaysia nanti,” katanya.

Justeru, Fandi berkata, ketiadaan Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo pada final diharap mampu diambil alih dengan pemain yang mampu memikul tanggungjawab besar itu.

Katanya, kepercayaan yang diberikan diharap meningkatkan keazaman kepada semua pemain untuk mempertingkatkan prestasi masing-masing.

“Saya harap semua pemain merebut peluang untuk berada dalam skuad utama,” kata pengendali berusia 62 tahun.

Pada final piala berprestij itu nanti bakal menyaksikan perubahan dalam senarai pemain skuad itu susulan ketiadaan Sherman dan Hidalgo, masing-masing digantung perlawanan selepas mengutip dua kad kuning dan status sebagai pemain pinjaman Harimau Selatan.

Mahu atau tidak, skuad Tok Gajah perlu melakukan persediaan awal terutama mempertajamkan jentera serangan berikutan ketiadaan Sherman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top