Beberapa pemain EPL patah hati, aktres Hollywood pilih Pulisic

Beberapa pemain EPL patah hati, aktres Hollywood pilih Pulisic

London: Pelakon popular Hollywood, Sydney Sweeney kini hangat dikatakan sedang bercinta dengan bekas pemain sayap Chelsea walaupun dia sebelum ini pernah dihubungi menerusi mesej oleh beberapa pemain Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sydney, 28, dikenali menerusi lakonannya dalam The Housemaid, Sharp Objects serta Euphoria dan dianggap antara bintang filem paling popular dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini di Amerika Syarikat (AS).

Selain kejayaannya di layar perak, kehidupan peribadi pelakon kelahiran Washington itu sering menjadi perhatian peminat dan media yang ingin mengetahui perkembangan hubungan cintanya.

Laporan terdahulu oleh The Sun mendakwa beberapa selebriti, termasuk pemain daripada Arsenal, Manchester United dan Liverpool telah menghantar mesej peribadi kepadanya selepas dia berpisah dengan tunangnya, Jonathan Davino pada awal 2025.

Sweeney mula menjalin hubungan dengan ahli perniagaan dan penerbit itu pada 2018 dan mereka bertunang pada 2022 sebelum memutuskan hubungan pada Januari lalu.

Pelakon itu mengesahkan perpisahan mereka dalam satu temu bual bersama The Times pada Mei, dan apabila ditanya sama ada dia merancang untuk berkahwin, dia menjawab ringkas: “Tidak.”

“Saya sedang belajar mengenali diri sendiri, meluangkan lebih banyak masa bersama rakan-rakan, dan saya menikmatinya,” tambahnya.

Namun menurut satu sumber yang dipetik The Sun, situasi itu tidak menghalang beberapa pemain bola sepak daripada menawarkan ‘percutian ke Eropah’ sebagai cara untuk memikat pelakon tersebut.

“Ada antara mereka yang terlalu beria-ia sehingga cuba mendapatkan alamatnya untuk menghantar bunga, tetapi dia sentiasa menolak,” kata sumber itu.

“Saya boleh katakan lebih 100 orang daripada selebriti hinggalah jutawan atau individu kaya dari Timur Tengah dan Asia menghubunginya setiap bulan.”

Sumber sama turut mendakwa ada pihak yang melampaui batas dan akhirnya disekat, manakala sebahagian pemain lain bersikap sopan dan menghormati ketika menghantar mesej.

Bagaimanapun, ramai selebriti dan pemain bola sepak mungkin kecewa apabila diketahui bahawa Sydney kini dikatakan sedang bercinta dengan pemain sayap AC Milan dan pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (USMNT), Christian Pulisic.

Menurut laporan media Itali Gazzetta, terdapat khabar angin bekas pemain Chelsea dan Borussia Dortmund itu sedang menjalinkan hubungan dengan Sydney, namun kedua-duanya masih belum mengesahkan sama ada mereka benar-benar bercinta atau sekadar berkenalan.

Pulisic antara pemain bola sepak Amerika paling terkenal sepanjang zaman dan dijangka memainkan peranan penting bersama USMNT pada kempen Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Utara.

Pemain kelahiran Pennsylvania itu kini memiliki 82 kap antarabangsa, sejak membuat penampilan sulung bersama pasukan kebangsaan pada 2016.

Dia juga pernah dinobatkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik Bola Sepak Amerika Syarikat sebanyak empat kali pada 2017, 2019, 2021 dan 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top