BEIJING: Beijing mendesak Washington supaya berhenti menggambarkan China sebagai ‘jahat’, dalam mesyuarat bersama Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Wendy Sherman, hari ini.
Sherman tiba di bandar Tianjin, semalam, ketika hubungan antara kedua-dua ekonomi utama dunia itu terus merosot susulan pelbagai isu daripada aspek keselamatan siber sehinggalah hak asasi manusia.
“Ia berkemungkinan menjadi harapan bahawa dengan menggambarkan China sebagai ‘jahat’, AS boleh menyalahkan China atas permasalahan strukturnya sendiri.
“Kami menggesa AS supaya mengubah pemikiran sangat terpesong serta dasar berbahaya negara itu,” kata Naib Menteri Luar China, Xie Feng, kepada Sherman dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh kementeriannya.
Menurut kenyataan itu lagi, Xie Feng turut mendakwa Washington melihat China sebagai ‘musuh bayangan.’
Selain itu, beliau menyifatkan hubungan antara kedua-dua negara terbabit berada dalam keadaan ‘buntu’ dan berdepan ‘kesulitan serius.’
Beliau juga mendakwa rakyat China melihat ‘retorik AS sebagai percubaan tersembunyi untuk mengekang dan menekan China.’
Komen terbabit mengingatkan semula kepada pertikaman lidah antara diplomat utama Washington dengan Beijing, Antony Blinken dan Yang Jiechi, di Alaska, Mac lalu.
Dalam kunjungannya ke Beijing, Sherman juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan Menteri Luar China, Wang Yi. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




