KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan bahan api negara mencukupi hingga Ogos ini, selain usaha sedang dipergiat bagi memastikan bekalan itu terus terjamin dalam menghadapi ketidaktentuan krisis global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jaminan itu hasil penyelarasan yang dilaksanakan bersama pemain industri bagi memastikan keperluan pengguna serta sektor ekonomi utama tidak terjejas.
Menurutnya, kerajaan turut melaksanakan pemantauan harian ke atas bekalan dan harga barangan keperluan selain bekerjasama dengan Petronas serta pemain industri untuk memantau kedudukan stok.
“Bekalan beras negara termasuk stok penimbal juga masih terkawal iaitu mencukupi untuk tempoh lima hingga enam bulan.
“Bekalan makanan asas seperti ayam, telur, ikan, susu dan buah-buahan mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan,” katanya ketika memberi penerangan mengenai krisis bekalan global di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu Akmal Nasrullah menjelaskan, pemantauan harga barangan keperluan dilaksanakan melalui platform PriceCatcher yang melibatkan 316 produk di lebih 2,000 premis runcit di seluruh negara.
“Usaha itu disokong oleh 850 Pegawai Pemantau Harga bagi memastikan perkembangan harga semasa produk dikawal.
“Penguatkuasaan terhadap pencatutan dan penyeludupan turut dipertingkat supaya tekanan global tidak dimanipulasi untuk menaikkan harga secara tidak munasabah,” ujarnya.



