Bekalan sawit dijangka meningkat separuh kedua 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

mahanum_aziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Peningkatan bekalan bermusim secara ketara bagi sawit hanya akan dapat dilihat pada suku ketiga dan keempat tahun ini, demikian kata pakar.

Pengarah dan Anggota Lembaga Pengarah UIE Plc, Harald Sauthoff, berkata situasi inventori yang sempit bagi komoditi itu dijangka berlarutan sehingga akhir suku kedua 2021.

Justeru, beliau menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) bagi 2021 berlegar antara RM3,000 hingga RM4,000 satu tan dengan kadar purata sekitar RM3,320 satu tan.

“Kami jangka pengeluaran MSM di Malaysia berada pada paras 19.5 juta tan bagi 2021 berbanding 19.1 juta tan bagi 2020. Malaysia juga masih berdepan kekurangan buruh di ladang sawit.

“Pengeluaran sawit Indonesia pula pada paras 47 juta tan bagi 2021 berbanding 44 juta tan bagi 2020 dan 43.8 juta bagi 2019,” katanya pada Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik 2021 (POC 2021) secara maya, hari ini.

Sementara itu, Presiden IP Specialities Asia Pte Ltd, Norman Ellard juga menjangkakan harga MSM kukuh tahun ini dengan unjuran sekitar antara AS$950 hingga AS$1,000 satu tan.

Bagi harga laurik pula, beliau menjangkakan sekitar AS$1,250 hingga AS$1,300 satu tan.

Ellard berkata, impak pandemik COVID-19 dijangka berterusan tahun ini dan akan memberi situasi norma baharu kepada industri, malah ia juga mengubah persekitaran industri.

Dalam perkembangan lain, Felo Kanan dan Pengarah Program Pengajian Ekonomi, Institut Jeffrey Cheah di Asia Tenggara, Sunway University, Profesor Dr Yeah Kim Leng, berkata prospek pemulihan ekonomi global cerah dengan pelaksanaan program vaksin.

Beliau berkata, untuk mengembalikan potensi pertumbuhan mungkin mengambil masa lama daripada dijangkakan berikutan kerosakan terhadap kehilangan modal ekonomi dan produktiviti.

“Pembangunan semula akan bertumpu kepada pembangunan semula sistem penjagaan kesihatan dan jaringan keselamatan sosial, pelaksanaan pantas pelaburan hijau, memanfaatkan teknologi digital serta mempertingkatkan kerjasama antarabangsa dan serantau,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd