PKPD: Semua 1,051 pekerja YTY jalani saringan Covid-19 – Utusan Digital

LUMUT: Semua 1,051 pekerja warga asing kilang sarung tangan YTY di Lekir dekat sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 19 Mac lalu sudah menjalani ujian saringan Covid-19.

Daripada jumlah itu, difahamkan seramai 100 kes positif telah direkodkan.

Penguat kuasaan PKPD melibatkan kawasan kilang dan asrama pekerjanya dilaksanakan sehingga 1 April ini.

Semua pekerja warga asing itu terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal, Vietnam dan Myanmar yang menghuni tiga blok asrama di situ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berharap pemimpin komuniti dapat memainkan peranan dalam menggalakkan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Pematuhan SOP penting bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan orang ramai.

“Walaupun kita sudah ada vaksin, pematuhan SOP masih diperlukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke markas PKPD Kilang YTY Batu 10 Lekir dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 555 anggota daripada keseluruhan 596 anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung sudah menerima suntikan vaksin.

Katanya, mereka yang belum menerima suntikan vaksin pula terdiri daripada mereka yang masih dalam proses kuarantin, hamil serta ada penyakit tertentu. – UTUSAN ONLINE