PONTIAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup selama dua penggal, Jamilah Endan meninggal dunia di Hospital Pontian, di sini petang tadi.
Menurut anak ketiganya, Norazrin Amir Hamzah, allahyarhamah ibunya berusia 81 tahun dimasukkan ke hospital sejak kelmarin dan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
“Arwah ibu meninggal dunia pada pukul 5.50 petang,” katanya ketika ditemui di Hospital Pontian, malam ini.
Jenazah ibunya dibawa baliknya ke rumah keluarganya di Kampung Rambah selepas dimandi dan dikapankan.
“Jenazah ibu akan dikebumikan sebelum solat Zohor pagi esok di Wakaf Masjid Jamek Kampung Rambah, ” katanya.
Allahyarhamah yang merupakan ahli UMNO menjadi ADUN Kukup selama dua penggal dari 1999 hingga 2008. – UTUSAN