am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad meninggal dunia pada usia 81 tahun, awal pagi tadi.
Berita pemergian Allahyarham dikongsi menerusi hantaran di Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sekitar jam 3 pagi tadi.
“Dimaklumkan bahawa Tuan Guru kita semua Tan Sri (Dr) Syaikh Ismail Muhammad, mantan Imam Besar Masjid Negara, Ahli Jawatankuasa Literasi Al Quran Selangor, Pensyarah Talaqi Lanjutan Tinggi Akademi Literasi Al Quran Selangor baru sahaja kembali menghadap Allah SWT.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan urusan mandi serta kafan akan dilakukan selepas solat Subuh.
“Solat jenazah akan dilakukan sekitar jam 9 pagi,” menurut perkongsian itu.
Difahamkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya.
Sebelum ini, Allahyarham dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi peringkat Kebangsaan 2021/1443 Hijrah.
Allahyarham juga adalah Imam Besar Masjid Negara yang paling lama berkhidmat iaitu selama 12 tahun sejak 2007 hingga 2019, selain pernah menjadi hakim di Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




