Bekas Ketua Program Makanan Percuma Indonesia ditahan kes rasuah

Bekas Ketua Program Makanan Percuma Indonesia ditahan kes rasuah
Bekas Ketua Program Makanan Percuma Indonesia ditahan kes rasuah

Dadan Hindayana (tengah) semasa ditahan di Jakarta.-Foto AFP.

JAKARTA – Bekas Ketua Badan Gizi Nasional (BGN) Indonesia, Dadan Hindayana ditahan pihak berkuasa pada Rabu, sehari selepas beliau dipecat daripada jawatannya susulan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dalam pelaksanaan program makanan percuma kebangsaan.

Dadan, yang mengetuai agensi itu sejak penubuhannya pada Ogos 2024, ditahan bersama dua timbalannya selepas disoal siasat oleh Pejabat Peguam Negara di Jakarta.

Menurut pegawai penyiasat, ketiga-tiga mereka disyaki terlibat dalam salah laku pengurusan agensi termasuk pemberian kontrak kepada yayasan yang mempunyai kaitan dengan suspek.

“Siasatan mendapati yayasan yang dilantik untuk mengendalikan dapur program makanan percuma dipercayai digunakan sebagai saluran melakukan jenayah,” kata pegawai Pejabat Peguam Negara, Syarief Sulaeman Nahdi.

Beliau berkata, yayasan terbabit menerima insentif bernilai berbilion rupiah setiap hari dan sebahagiannya didakwa dimiliki atau mempunyai hubungan langsung dengan suspek.

Pihak berkuasa turut melakukan serbuan di ibu pejabat BGN serta kediaman ketiga-tiga suspek bagi mengumpul bukti.

Selain itu, mereka turut disiasat berhubung perolehan meragukan melibatkan motosikal elektrik, kasut, tablet dan televisyen yang didakwa tidak berkaitan dengan keperluan program.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Program makanan percuma yang menjadi antara janji utama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Pilihan Raya Presiden 2024 itu menyasarkan lebih 82 juta pelajar, kanak-kanak serta wanita hamil dan menyusu.

Namun, program berkenaan berdepan pelbagai kontroversi selepas puluhan ribu penerima dilaporkan mengalami keracunan makanan sejak ia dilancarkan pada Januari tahun lalu.

Badan pemantau rasuah, Indonesia Corruption Watch (ICW), yang sebelum ini membuat aduan terhadap Dadan, menyifatkan pemecatan pegawai tertinggi agensi itu sahaja tidak mencukupi dan menggesa program berkenaan dihentikan serta peruntukannya disemak semula.

Kerajaan Indonesia sebelum ini memaklumkan lebih 61 juta rakyat telah menerima manfaat daripada program tersebut sehingga Mac lalu.- AFP

Mesti Baca

Scroll to Top