Bekas tentera didakwa cabul, cederakan prebet dalam kem

Bekas tentera didakwa cabul, cederakan prebet dalam kem

MELAKA – Seorang bekas koperal tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas 17 pertuduhan mencabul dan mencederakan seorang prebet tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Amanah Habhijullah, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman sebaik semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 15, tertuduh didakwa telah melakukan kekerasan jenayah kepada seorang lelaki berusia 20 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan di Bilik Bujang Tingkat Dua, Villa Kesatria, 73, Batalion Ordnans Diraja, Kem Terendak, Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah sekitar tengah malam hingga pukul 6 pagi antara 25 Ogos 2023 hingga 14 Oktober 2023.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).

Tertuduh turut didakwa atas dua pertuduhan dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama di lokasi sama pada pukul 2 pagi 15 Oktober dan 3 petang 16 Oktober 2023 yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 323 kanun sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin menawarkan jaminan keseluruhan RM134,000 iaitu RM8,000 bagi setiap pertuduhan Seksyen 354 KK dan RM7,000 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 323 KK.

Tertuduh yang diwakili peguam S Daniel bagaiamanapun dalam rayuannya memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya hanya menggunakan wang simpanan untuk kehidupan kerana dalam dalam proses diberhentikan kerja.

Selain itu, anak guamnya juga menanggung ibu bapa yang uzur dan sakit.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 bagi semua 15 pertuduhan mencabul kehormatan dan RM1,000 bagi setiap pertuduhan menyebabkan kecederaan menjadikan keseluruhan berjumlah RM11,000.

Selain itu tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta dilarang menghubungi atau menganggu mangsa menggunakan sebarang medium sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 April depan. – MalaysiaGazette