The Hague: Danny van Dijk percaya usahanya mengubah seluruh jalan tempat tinggalnya di sini menjadi lautan oren kali ini mampu membawa tuah kepada Belanda yang masih memburu gelaran Piala Dunia pertama dalam sejarah.
Sejak 26 tahun lalu, setiap kali skuad Oranje beraksi pada kejohanan bola sepak utama, Van Dijk bersama penduduk setempat akan menukar Jalan Marktweg menjadi ‘Jalan Oren’.
Kawasan itu dipenuhi hiasan berwarna oren dengan rumah-rumah diselaputi kanvas oren, panji-panji merentangi jalan serta gambar gergasi pemain Belanda dipasang pada tiang lampu dan pokok.
Keunikan Jalan Oren itu turut menarik kehadiran pengunjung dari seluruh Belanda.
Walaupun Belanda sudah tiga kali mara ke final Piala Dunia, mereka masih belum pernah menjulang trofi berprestij itu.
Namun, Van Dijk yakin penantian panjang skuad Oranje akan berakhir kali ini.
“Saya mempunyai firasat yang baik. Kali ini kami akan menang,” katanya.
Sebagai penghormatan kepada ibunya yang meninggal dunia pada usia 77 tahun pada Mac lalu, Van Dijk turut memasang rentangan bendera sepanjang 77 kilometer di kawasan berkenaan.
Ibunya sebelum ini dianggap antara individu penting yang menjayakan tradisi Jalan Oren dan dikenali kerana peranannya menyatukan komuniti setempat.
“Kami dapat bertemu ramai orang dan apa yang paling menggembirakan ialah melihat semua orang tersenyum.
“Kami bukan sahaja bertemu penduduk di kawasan kejiranan ini, malah pengunjung yang datang dari seluruh Belanda,” katanya.
Belanda akan memulakan kempen Piala Dunia 2026 menentang Jepun di Arlington, Texas, awal pagi Isnin ini.
“Ia pasti menjadi hari yang cukup hebat,” katanya penuh teruja.
Dini Netten, 58, sanggup datang dari utara Belanda semata-mata untuk menyaksikan sendiri kemeriahan Jalan Oren itu.
“Ia benar-benar menakjubkan. Setiap dua tahun, inilah antara perkara yang paling saya nantikan,” katanya.
Seorang lagi penduduk The Hague, Coby Pronk, 65, berkata dia sudah mengunjungi kawasan itu sejak dua bulan lalu ketika kerja menghias bermula sebelum kembali semula untuk melihat hasil akhirnya.
“Ia satu inisiatif yang hebat. Jalan ini benar-benar menakjubkan dan mungkin yang paling cantik di negara ini,” katanya.
Anouk Vermolen, 28, yang datang bersama pasangannya pula berkata semangat yang ditunjukkan penganjur membuktikan bola sepak mampu menyatukan masyarakat.
“Ini idea saya untuk datang ke sini walaupun saya sebenarnya tidak menonton bola sepak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




