Belanja RM10,000 untuk 'hanfu' warisan moyang

Belanja RM10,000 untuk  'hanfu' warisan moyang

Gua Musang: Jika sebelum ini persalinan tradisional masyarakat Tionghoa, iaitu samfu dan ceongsam sinonim pada perayaan Tahun Baharu Cina, seorang pemuda pula sanggup membelanjakan hampir RM10,000 untuk mendapatkan busana ‘hanfu’ untuk mengembalikan warisan pakaian tradisional tinggalan nenek moyangnya.

Mempunyai cita rasa yang agak berbeza, Chin Qi Yao, 33, dari Kampung Batu Papan 2, di sini lebih tertarik dengan keunikan hanfu dan mula menggayakan pakaian itu sejak 10 tahun lepas, setiap kali perayaan Tahun Baharu Cina.

Chin berkata hanfu ialah pakaian tradisional Cina tertua yang dipercayai wujud lebih 2000 tahun lepas serta menjadi busana kebangsaan etnik Han dan pakaian harian beberapa dinasti termasuk Dinasti Tang, Song dan Ming di China.

“Pakaian tradisional jenis hanfu ini tidak mudah ditemukan dan dijual di pasar raya tempatan, jadi saya akan membelinya secara dalam talian. Hanfu tidak terhad kepada warna merah sahaja, malah mempunyai banyak variasi rekaan, corak dan warna lain sehingga membuatkan saya tertarik untuk menggayakan hanfu pada hari pertama Tahun Baharu Cina.

“Berbeza dengan samfu, hanfu perlu dipakai dua atau tiga lapis dan tidak mempunyai butang namun dirapikan dengan tali. Saya ada lebih 10 koleksi hanfu dengan harga sepasang kira-kira RM500 dan saya tidak kisah berapa banyak wang perlu dibelanjakan kerana saya mesti memakainya pada hari tersebut.” katanya.

Chin berkata meskipun hanfu kelihatan seperti kimono dari Jepun dan hanbok dari Korea Selatan, namun rekaannya amat berlainan kerana selain lebih longgar, baju itu juga mempunyai pakaian atas dan bawah berasingan.

“Hanfu ialah pakaian lelaki dan wanita masyarakat Cina yang bajunya mempunyai lengan panjang, rekaannya pula pada bahagian tangan akan longgar serta besar (terbuka).

“Struktur dan rekaan baju ini juga membawa maksud tersendiri. Lebih luas bukaan pada bahagian tangan bermakna lebih ‘ong’, sebab itulah kita boleh lihat ada baju yang berbeza keluasannya mengikut minat individu tersebut,” katanya.

Beliau berkata keunikan pakaian ini tidak lagi mendapat perhatian generasi muda kerana sering dikaitkan dengan pakaian zaman dahulu dan tidak mengikut trend.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top