City makin hampir, Rice minta Gunners jangan panik

City makin hampir, Rice minta Gunners jangan panik

London: Tonggak tengah Arsenal, Declan Rice menegaskan pasukannya tidak boleh terganggu dengan tekanan Manchester City yang semakin menghampiri puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas terikat 1-1 menentang Brentford, awal pagi tadi.

City kini hanya empat mata di belakang skuad kendalian Mikel Arteta dan memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri apabila kedua-dua pasukan bertemu pada April nanti.

Arsenal memburu kejuaraan liga pertama dalam tempoh 22 tahun dan sebelum ini dilihat berada di landasan terbaik apabila mendahului sembilan mata pada Sabtu lalu.

Namun kebangkitan lewat City menewaskan Liverpool 2-1 pada Ahad memberi nafas baharu dalam perlumbaan kejuaraan, sebelum anak buah Pep Guardiola meneruskan momentum dengan kemenangan 3-0 ke atas Fulham pertengahan minggu. Arsenal pula gagal memberi tindak balas.

Di barat London, Noni Madueke meletakkan pelawat di depan, namun Brentford bangkit menerusi jaringan Keane Lewis-Potter dan hampir meraih kemenangan dalam 20 minit terakhir.

“Musim ini seperti rollercoaster. Jangan fikir ia mudah.

“Kami berdepan pasukan terbaik setiap minggu. Kami perlu terus mendesak dan percaya kepada diri sendiri serta mengawal apa yang mampu dikawal.

“Kami perlu sekat gangguan luar. Orang akan bercakap mengenai perebutan kejuaraan, tetapi kumpulan ini kekal tenang.

“Saya tidak pernah anggap Brentford pasukan mudah. Mereka antara yang terbaik dalam liga dan prestasi terkini membuktikannya. Satu mata ini adalah sebahagian daripada perjalanan kami, tetapi kami mahu kemenangan,” kata Rice.

Arteta pula kecewa apabila pasukannya gagal mengekalkan kawalan permainan selepas permulaan positif babak kedua.

“Kami kurang ketenangan untuk menguasai bola dan bermain di kawasan sepatutnya. Kami juga terlalu banyak menghadiahkan sepakan percuma yang tidak perlu,” katanya.

Kekuatan Arsenal dalam situasi bola mati banyak membantu mereka berada di kedudukan teratas, namun kali ini mereka sukar mengekang kelebihan Brentford dalam situasi sama.

Gol penyamaan hadir menerusi lontaran jauh Michael Kayode ke dalam kotak penalti sebelum disambung Sepp van den Berg dan disudahkan Lewis-Potter.

“Mereka memang kuat dalam situasi itu, jadi pujian untuk mereka.

“Mereka heret anda ke dalam permainan seperti kasino. Apa sahaja boleh berlaku dan sesuatu yang buruk boleh terjadi,” kata Arteta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top