razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pembentangan Belanjawan 2026 hari ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan perlindungan sosial dan simpanan hari tua golongan pekerja gig.
Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) dalam kenyataan berkata, inisiatif kerajaan yang memperkenalkan skim i-Saraan Plus dengan insentif caruman padanan sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup kepada pekerja gig termasuk komuniti pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing banyak membantu golongan itu.
“PENGHANTAR menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026.
“Namun kami mengharapkan penjelasan lebih terperinci mengenai padanan ini kerana pengumuman ini tidak lengkap.
“Apabila disebut padanan, pihak manakah yang akan menanggung jumlah sedia ada, syarikat EHO/PHO atau rakan pemandu dan rakan penghantar?
“Penjelasan ini amat penting bagi mengelak sebarang spekulasi dan teori separuh masak oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk pertubuhan tidak berdaftar yang mendakwa sebagai mewakili rakan pemandu dan rakan penghantar,” katanya.
Pada masa sama, pihaknya berharap pihak kerajaan akan segera memberi perincian mengenai tanggungan 70 peratus caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri pekerja gig dan 50 peratus bagi tahun kedua termasuk nilai peruntukan yang bakal disalurkan bagi tujuan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




