hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyambut baik inisiatif kerajaan memperkenalkan setem cukai digital dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti pemalsuan sekali gus meningkatkan kutipan hasil.
Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, selain itu, pihaknya turut mengalu-alukan pelaksanaan Centralised Screening Complex CCTV.
Katanya, pelaksanaan itu membolehkan pemantauan secara real-time monitoring bagi pergerakan kontena di pelabuhan dari pusat kawalan dan seterusnya dapat menangani ketirisan di pintu masuk negara.
“JKDM mengucapkan terima kasih kepada kerajaan MADANI kerana sudah mempertimbangkan permohonan JKDM dan meluluskan dalam Belanjawan 2026.
“Kerajaan memperuntukkan RM700 juta dalam mempertingkatkan penguatkuasaan melalui latihan dan perolehan aset kepada JKDM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan memastikan segala peruntukan yang disalur oleh kerajaan akan dimanfaatkan secara optimum, telus dan berimpak tinggi bagi mempertingkatkan keupayaan operasi serta memperkukuh pematuhan undang-undang dan membanteras penyeludupan yang mengancam keselamatan serta ekonomi negara.
“Pada masa sama, ia turut memberi motivasi dan semangat kepada seluruh warga JKDM untuk terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, komitmen dan profesionalisme dalam memelihara hasil negara serta mempertingkatkan kutipan cukai dengan lebih cekap dan berkesan.
“JKDM kekal komited memperkukuh usaha penguatkuasaan, memperluas penggunaan teknologi baharu serta mempergiat kerjasama strategik antara agensi.
“Ia khususnya dalam memperkukuh pungutan hasil negara, memelihara kestabilan ekonomi dan menyokong pembangunan serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



