KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) 2025 sebanyak 4.10 peratus iaitu tertinggi dalam tempoh 11 tahun.
Agihan keuntungan itu membabitkan peruntukan RM505.68 juta berbanding RM439.87 juta tahun lalu yang memberi manfaat kepada 6.07 juta akaun pendeposit.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, peningkatan agihan dividen Simpan SSPN yang diperkenalkan sejak 2004 menunjukkan kecekapan pengurusan dana simpanan yang efektif berlandaskan tadbir urus cemerlang, berintegriti dan strategik.
“Ini bagi memastikan pulangan optimum dapat diberikan kepada pendepositnya. Pemberian dividen pada kadar 4.10 peratus adalah lebih tinggi berbanding agihan sebanyak 4.05 peratus bagi 2024.
“Pada tahun lalu, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM3.33 bilion.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM154.10 juta atau 4.86 peratus berbanding pencapaian tahun 2024 iaitu sebanyak RM3.17 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2025 di Menara PTPTN di sini, hari ini.
Norliza berkata, lebih 500,000 pembukaan akaun baharu direkodkan pada tahun lalu.
“Ini menjadikan keseluruhan deposit yang diterima sehingga 31 Disember lalu adalah berjumlah RM23.88 bilion.
“Prestasi ini merupakan pencapaian dan kejayaan yang membanggakan, selain bukti sokongan pendeposit Simpan SSPN terus kekal utuh.
“Pencapaian ini turut mendapat sokongan penuh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai tanda keyakinan terhadap prestasi pengurusan dana yang mampan dan berdaya saing,” katanya. – UTUSAN



