PUTRAJAYA: Pembangunan ekonomi negara perlu mengambil kira keperluan rakyat di peringkat akar umbi, termasuk golongan pesawah, nelayan dan pekerja berpendapatan rendah yang berdepan tekanan kos kehidupan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan ekonomi yang rancak, peningkatan pelaburan dan kemajuan teknologi perlu bergerak seiring dengan usaha menangani isu gaji rendah, kadar sewa rumah yang tinggi serta kenaikan harga barangan keperluan.
Beliau berkata, Malaysia masih berupaya mengembangkan ekonomi dari tahun 2026 hingga 2027 selain mengurangkan defisit fiskal meskipun keadaan ekonomi terjejas.
Memuatkan artikel berkaitan…
Katanya, pencapaian itu mencerminkan pengurusan ekonomi yang melibatkan kerjasama seluruh jentera kerajaan, bukannya bergantung kepada seseorang menteri semata-mata.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan pelaksanaan Belanjawan 2027 dibuat secara cekap dan berkesan bagi memastikan setiap dasar serta bantuan yang diumumkan kerajaan mampu memberi manfaat secara menyeluruh kepada golongan rakyat.
Menurut beliau, unjuran harga minyak pada tahun lalu yang ditetapkan pada AS$70 setong kini jauh berbeza apabila harga komoditi itu meningkat sehingga AS$120 setong.
Katanya, kenaikan harga minyak dan kos barangan memberi tekanan kepada banyak negara terutama di Eropah sehingga mencetuskan rusuhan apabila kerajaan berdepan kesukaran menangani keperluan asas rakyat.
“Tetapi lazimnya di semua negara harga barang akan melonjak naik menyebabkan banyak negara, terutama di Eropah sekarang menghadapi rusuhan rakyat, tidak mampu menyelesaikan masalah asas kehidupan mereka, dari sekolah, dari gaji guru kepada gaji pekerja, kepada kemudahan asas, itu semua jadi masalah. Jadi kita tengok rusuhan yang merebak.
“Dan negara jiran juga hadapi dan kita bertambah pula dengan jerebu. Jerebu itu udara, tetapi Belanjawan tidak ‘jerebu’. Masalah (ada orang) tidak baca Belanjawan. Kalau baca, jelas angka dan datanya, dibuat dengan begitu teliti. Jadi boleh baca, kalau tidak boleh baca jerebulah ini,” katanya di majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di sini semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut melaksanakan beberapa inisiatif segera selepas pembentangan Belanjawan 2027 dibentangkan bagi memastikan rakyat menikmati manfaat secara menyeluruh.
Katanya, inisiatif segera itu termasuk pembukaan pendaftaran rumah di Bandar Madani, Bukit Jalil oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selain penyaluran bantuan RM1,000 kepada setiap pemandu teksi oleh Kementerian Pengangkutan.
Beliau berkata, bantuan kepada pemandu teksi menggunakan hasil daripada pengenalan nombor pendaftaran kenderaan istimewa yang dilaksanakan secara telus sebelum hasilnya dipulangkan kepada golongan berkenaan.
“Kerajaan turut mempercepat pembangunan 10,000 unit kediaman asrama mahasiswa di Universiti Malaya bagi menangani masalah perumahan dalam kalangan penuntut universiti.
“Saya juga meminta pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyegerakan proses kelulusan projek berkenaan bagi memastikan usaha menangani isu perumahan mahasiswa dapat dilaksanakan segera.
“Ini makna langkah-langkah diambil segera dan saya percaya Insya-Allah kalau dengan semangat yang ada, Ketua Setiausaha Negara akan adakan mesyuarat untuk memantau bersama dengan semua Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah supaya langkah-langkah pelaksanaan diambil,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut menegur golongan penjawat awam untuk segera melaksanakan tugas bagi membolehkan setiap urusan dapat disiapkan dengan kadar segera.
“Kalau upah sudah naik, minyak sudah turun, ekonomi katanya begini, kita tidak bersyukur, kerja masih lembap, masih lambat, surat boleh dijawab satu hari dia ambil masa dua minggu, itu memang penyakitlah,” tegasnya.
Perdana Menteri berkata, aspek pembangunan seimbang antara negeri turut menjadi keutamaan bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi tidak hanya tertumpu di kawasan yang lebih maju.
Menurutnya, negeri yang mempunyai hasil lebih rendah tetap memerlukan peruntukan pembangunan yang meningkat bagi menangani masalah kemiskinan, tebatan banjir dan penyediaan prasarana asas.
“Kerana kalau dengar perbahasan di Parlimen, oh kita menganiaya, menganak tirikan negeri. Jadi kita senaraikan berapa peruntukan.
“Hasil dari negeri-negeri yang relatif miskin itu hasilnya kecil tapi belanjanya terus meningkat kerana masalah tebatan banjir, masalah kemiskinan, masalah prasarana asas harus dibangunkan,” katanya.
Anwar menegaskan kepentingan memastikan pertumbuhan ekonomi disertai pengagihan pembangunan yang lebih seimbang agar negeri dan kawasan yang kurang maju tidak terus ketinggalan.
“Sebab itu kita katakan keserataan ekonomi. Dan ekonomi itu tidak harus menjurus kepada kepentingan rantau atau kawasan negeri yang sudah kaya,” katanya. – UTUSAN




