Beli senjata api perang di Thailand untuk seludup ke Malaysia

Beli senjata api perang di Thailand untuk seludup ke Malaysia

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Lelaki rakyat Malaysia yang ditahan bersama senjata api perang jenis M16 dan ratusan butir peluru di Sadao, Songkhla, Thailand dipercayai dibeli di negara itu untuk diseludup masuk ke negara ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim ketika dihubungi hari ini mengesahkan perkara itu.

“Kita ada menerima maklumat ini dan sedang dalam usaha mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand bersama senjata api perang jenis M4 dan ratusan butir peluru dalam kereta yang dipandunya di Sadao, Songkhla.

Suspek berusia 46 tahun ditahan pada 5.35 petang di sekatan jalan raya yang dijalankan oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao.

Sumber berkata, sekatan jalan raya itu dijalankan sebagai sebahagian daripada operasi pencegahan jenayah penyeludupan dadah serta ancaman keselamatan.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Kia bernombor pendaftaran Malaysia itu menemui dua laras raifal M4; 300 butir peluru kaliber 5.56 mm; tujuh magazin peluru 5.56 mm; 100 butir peluru kaliber .45 mm dan 50 butir peluru kaliber 9 mm,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top