Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menganjurkan program Belia Desa Madani di Johor bersempena sesi turun padang Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi satu kenyataan media, KKDW melalui agensinya telah memperuntukan sebanyak RM5.41 juta khusus buat golongan belia di Negeri Johor dalam program tersebut.

Selain itu, program ini juga menyasarkan golongan belia dan masyarakat setempat bagi mendapatkan maklumat mengenai program-program pembangunan belia yang dijalankan KKDW melalui agensinya.
Antara kekuatan utama pembangunan belia luar bandar adalah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain memperkenalkan program teknousahawan yang memberi fokus kepada pembangunan usahawan TVET.
Bidang keusahawanan merupakan salah satu sumber ekonomi dan pendapatan negara malah semakin ramai pelajar dan belia yang mula menceburi dan menimba ilmu tentang keusahawanan.

Berdasarkan statistik 2022, kebolehpasaran graduan TVET mencapai tahap sehingga 92.5% dan ini membuktikan bidang TVET telah melahirkan ramai belia yang mempunyai peluang pekerjaan dalam industri.
Di Parlimen Pulai, sebanyak dua institusi TVET iaitu Akedemi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies Sdn. Bhd (Johor) yang menawarkan 43 kursus yang boleh dimohon oleh belia-belia kawasan tersebut.
Menerusi Program Belia Madani @KKDW. pihak KEJORA serta agensi KKDW Negeri Johor telah menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuklah Robo-Soccer, Penyelenggaraan Motor Percuma dan macam-macam lagi.
Bukan itu sahaja, Jualan Rahmah turut dijalankan dengan kerjasama Pasaraya Maslee @B5 dan terdapat lebih 13 barangan yang dijual.

