Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tidak berisiko melarikan diri memandangkan beliau sendiri bertanggungjawab menjaga keselamatan sempadan negara.
Perkara itu ditegaskan peguamnya, Kitson Foong ketika memohon Mahkamah Majistret supaya anak guamnya dilepaskan dengan bon peribadi tanpa perlu membayar wang jaminan bagi dua pertuduhan mencederakan anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut Kitson, pengalaman Mohd Shuhaily selama 26 tahun dalam perkhidmatan polis, termasuk pernah bertugas sebagai atase polis di Washington DC, wajar diambil kira dalam mempertimbangkan permohonan berkenaan.
“Beliau juga merupakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum menerajui AKPS.
“Mohd Shuhaily sama sekali tidak berisiko untuk melarikan diri malah beliau merupakan individu yang menjaga sempadan negara,” katanya dalam prosiding pada Rabu.
Pihak pembelaan turut memohon supaya Mohd Shuhaily tidak dikenakan syarat tambahan seperti menyerahkan pasport atau melaporkan diri di balai polis.
Kitson mencadangkan ikat jamin RM1,000 bagi kedua-dua pertuduhan sekiranya mahkamah tidak membenarkan permohonan bon peribadi.
Beliau juga memohon agar anak guamnya dikecualikan daripada menghadiri pengurusan kes praperbicaraan dengan jaminan akan hadir sepanjang prosiding perbicaraan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail mencadangkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
“Kami hanya meminta tertuduh tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Khairatul Animah membenarkan Mohd Shuhaily diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
Mahkamah turut menolak permohonan pengecualian kehadirannya semasa pengurusan kes praperbicaraan dan menetapkan 25 November depan untuk sebutan semula.
Mengikut pertuduhan, Mohd Shuhaily didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25, dan Mohamad Faiz Saman, 40.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku di kaunter J, Terminal 1 KLIA antara jam 1.27 hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mohd Shuhaily menjadi perhatian selepas tular rakaman video memaparkan seorang lelaki yang kelihatan sepertinya memarahi individu di KLIA.
Susulan itu, beliau pada 1 Oktober lalu menyatakan kesediaan menerima sebarang keputusan atau tindakan, selain menyuarakan hasrat memastikan KLIA bebas daripada kegiatan ‘ulat’ warga asing.
Dalam prosiding sama, Mohd Shuhaily diwakili sembilan peguam, termasuk bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md Sam yang turut berhujah bahawa bon peribadi sudah memadai bagi memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah.
Selain Kitson dan Yaacob, barisan pembelaan terdiri daripada Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Badruzzaman Ishak.
Sumber: Sinar Harian (Noor Azlida Alimin)





