syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Bell Ngasri mengakui tawaran untuk kerja-kerja lakonan agak menurun selepas kembali mencipta nama saat menggondol Anugerah Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 35 (ABPBH35), dua tahun lalu.
Bagaimanapun, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri, 45, bersyukur kerana rezeki dalam dunia seni selain lakonan masih terbuka buatnya.
“Tawaran lakonan memang agak kurang, tetapi, tidaklah terlalu banyak beza sangat. Sejujurnya, memang timbul rasa risau, kalau-kalau ada yang takut untuk panggil (tawar) saya berlakon selepas menang di ABPBH35.
“Tapi, Alhamdulillah, saya masih lagi bekerja untuk beberapa program. Mungkin dari sudut tawaran lakonan sahaja yang berkurangan.
“Selain itu, mungkin, tidak banyak jenis (genre) cerita yang pengarah nak hasilkan dan sebagainya. Saya pun tak tahu punca (kurang tawaran), tapi, saya serahkan semuanya kepada rezeki,” katanya.
Tambah Bell, dia sentiasa bersyukur dan sentiasa meraikan mereka yang menghargai bakat seninya.
“Tapi, anda perlu faham bahawa saya pun terbabit dengan banyak kerja-kerja lain juga dan kerja saya bukanlah berlakon semata-mata. Namun, Alhamdulillah, saya okay sahaja. Kalau ada yang nak panggil saya berlakon, silakan. Kalau tak ada, tak mengapa.
“Saya tak adalah kecewa. Sikit-sikit pun, saya bersyukur sebab sewaktu menang pun, bukanlah saya hero yang berlambak dengan drama atau filem.
“Tapi, saya tak mahu ada rasa kekurangan atau apa dan saya tetap bersyukur. Terima kasih juga kepada mereka terus menerus menghargai hasil kerja saya,” kata Bell ketika ditemui di Malam Gala Tayangan Filem 6 Jilake yang dibintanginya.
Selain Bell, filem arahan pengarah Aziz M Osman itu turut dibintangi Amerul Affendi, Saiful Apek, Asmidar, Kazar Saizi, Kamarool Yusof, Jalil Hamid, Wan Raja, Mamak Puteh, Wan Gegau dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd