bhnews@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pihak Pendakwa Raya Wilayah Narathiwat belum memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membebaskan penyanyi dikir barat dari Kelantan, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakyat Malaysia lain daripada tuduhan memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.
Perkara itu itu disahkan Jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat ketika dihubungi apakhabartv.com hari ini.
Berdasarkan laporan portal itu, jurucakap mahkamah terbabit berkata pihak pendakwa raya diberi tiga peluang untuk memohon bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan sama seperti kes dadah dan kes berkaitan keselamatan lain.
“Dalam kes ini pihak pendakwa raya sudah menggunakan satu peluang diberikan, yang mana tempohnya akan berakhir 6 Mei depan.
“Biasanya dua tiga hari sebelum tempoh itu tamat, pejabat pendakwa raya akan mengemukakan permohonan kedua untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan yang akan berakhir 6 Jun.
“Demikian juga untuk permohonan ketiga, yang sekiranya berlaku, maka tempohnya akan berakhir pada 6 Julai,” katanya.
Pada 6 Mac lalu, mahkamah yang bersidang selama tiga hari iaitu 11, 13 dan 14 Februari membebaskan Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, selain suami, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, daripada tuduhan secara bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.
Disebabkan semua tertuduh rakyat asing, mereka terpaksa tinggal di penjara sementara menunggu pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.
Berbeza jika rakyat Thailand, mereka akan dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Bae Soba Bae’ itu ditahan bersama suami dan rakannya dalam satu operasi dijalankan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Golok di sebuah hotel pada 1 November tahun lalu.
Mengulas lanjut, jurucakap itu memaklumkan portal sama bahawa mahkamah diberitahu pendakwa raya masih mengumpul bukti dan saksi baharu untuk proses rayuan.
“Sekiranya pihak pendakwa raya mempunyai bukti dan saksi baharu yang mencukupi, mereka akan memfailkan rayuan secara rasmi tanpa perlu menggunakan peluang kedua atau ketiga.
“Setakat hari ini tiada. Kami tidak menerima apa-apa permohonan (daripada pendakwa raya), jadi perlu tunggu 1, 2 atau 5 Mei ini.
“Jika sehingga waktu pejabat mahkamah ditutup pada 6 Mei tiada apa-apa permohonan, semua tertuduh akan dibebaskan,” katanya.
Jurucakap itu berkata, pihak berkuasa Thailand tidak mahu mengurung semua tertuduh terlalu lama tanpa perbicaraan yang adil.
© New Straits Times Press (M) Bhd

