am@hmetro.com.my
Ipoh: Jumlah penduduk di kawasan pedalaman Sarawak yang terkesan berikutan penangguhan penerbangan berjadual Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab, berkata perkara itu sudah dibawa kepada pengetahuan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan maklumat berhubung jumlah berkenaan tidak lama lagi.
“Dalam masa terdekat kita akan keluarkan. Soalan itu telah dikemukakan kepada Menteri, nanti kita akan keluarkan berkaitan perkara tersebut,” katanya kepada media selepas majlis makan malam Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sini, hari ini.
Beliau berkata, sejak pengumuman penangguhan FDS dibuat, tiada penerbangan berjadual dilaksanakan dan KKM ketika ini hanya menyediakan penerbangan bagi kes kecemasan atau perkhidmatan pemindahan perubatan (MEDEVAC).
Katanya, FDS mempunyai dua komponen iaitu penerbangan berjadual dan medevac bagi membawa pesakit kecemasan ke fasiliti kesihatan terdekat.
“Untuk yang berjadual, kita hentikan dulu dan kita sedang menilai kaedah alternatif lain untuk mencapai penduduk di kawasan yang memerlukannya.
“Bagi medevac, sekarang kita bekerjasama dengan bomba untuk melaksanakan operasi berkenaan,” katanya.
Terdahulu Dr Dzulkefly mengumumkan operasi FDS di Sarawak ditangguhkan sementara berikutan insiden nahas membabitkan sebuah helikopter yang digunakan bagi perkhidmatan itu di Long Lellang, selasa lalu.
Dalam tragedi kira-kira jam 3.40 petang kesemua lima individu menaiki helikopter BO-105 dikendalikan Layang-Layang Aerospace itu terkorban selepas terhempas berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang.
© New Straits Times Press (M) Bhd
