Putrajaya: Ibu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, mengakui keluarganya kini boleh membuat persiapan perkahwinan anaknya itu bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah dengan tenang.
Beliau berkata, sebelum ini dia tiada semangat membuat persiapan perkahwinan itu kerana bimbangkan keputusan mahkamah tidak memihak kepada anaknya.
“Kita memang tak ada buat persiapan lagi sebab tunggu keputusan hari ini.
“Setiap kali orang tanya bila majlis (perkahwinan), saya takkan jawab. Saya hanya tunggu keputusan mahkamah hari ini.
“Jadi bila keputusan memihak kepada Syed Saddiq, hati saya gembira. Bayangkan kalau sesuatu yang negatif berlaku pada hari ini, bagaimana?
“Saya tak nak mengecewakan anak orang, berdosa,” katanya.
Sharifah Mahani berkata, mereka kini boleh memulakan persiapan perkahwinan pasangan itu sepenuhnya, sebelum majlis pada penghujung tahun ini.
“Sekarang kita boleh ikat bunga telur. Sebelum ini memang tak ada ‘mood’ nak buat persiapan disebabkan (kes mahkamah) ini.
“Ini bukan kes setahun dua, ia sudah lama. Jadi biarlah kebahagiaan ini untuk mereka,” katanya.
Sharifah Mahani juga mengakui dia tidak dapat melelapkan mata dan hilang selera makan kerana terlalu memikirkan keputusan pada hari ini.
“Memang saya tak tidur, tak boleh makan juga.
“Orang kata kalau bercinta sampai tak mandi, tetapi ini lain pula ceritanya,” katanya.
Sementara itu, Sharifah Mahani juga bersyukur kerana anaknya dikelilingi insan yang menyayanginya dan memahami segala pengorbanannya termasuk dikurniakan bakal isteri, Bella Astillah yang sentiasa setia di sisinya ketika melalui detik sukar.
“Apa yang saya boleh katakan, bukan mudah untuk seseorang mendampingi Syed Saddiq, selama ini dia perlu turun naik mahkamah.
“Saya selalu tertanya-tanya, adakah dia akan bertemu pasangan yang sanggup berkorban dan melalui semua ini bersama-sama?
“Alhamdulillah, Bella sanggup.
“Insya-Allah mudah-mudahan dengan keizinan Allah, mereka dapat bersama kerana saya nampak Bella berjuang bersama-sama Syed Saddiq mencari rezeki kerana beliau tak ada peruntukan, tak ada apa-apa.
“Dia juga berjaya memberi kegembiraan kepada anak saya.
“Orang yang boleh memberi kegembiraan untuk anak saya, dialah yang layak jadi menantu saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




