am@hmetro.com.my
Walaupun sudah memiliki kekasih, pelakon, Adeline Tsen, 39, belum bersedia untuk berkahwin dan membina keluarga.
Adeline atau nama sebenarnya, Adeline Anthony Primus Tsen berkata, buat masa ini, dia tidak merancang atau memikirkan soal perkahwinan lagi.
“Memang saya sudah ada kekasih sekarang, tapi kita tidak tahu pada masa depan nanti bagaimana?
“Namun, jika sudah sampai jodoh dengan calon suami yang sesuai, saya akan pertimbangkan soal perkahwinan itu,” kata pelakon kelahiran Kota Belud, Sabah ini.
Mengulas soal perkahwinan lagi, kata pelakon yang sinonim dengan imej seksi ini, dia takut untuk berkahwin kerana bimbang tidak boleh beri komitmen pada rumah tangga kerana kesibukan kerjayanya ketika ini.
“Bila sudah berkahwin, pasangan perlu memahami peranan masing-masing dan dia juga perlu faham kerjaya saya.
“Hendak mencari pasangan yang memahami itu sukar. Perkahwinan juga bukan untuk tempoh singkat tetapi komitmen sepanjang hayat. Jadi, saya perlu mencari calon suami yang tepat,” katanya.
Ditanya sama ada hidupnya sunyi kerana masih belum berkeluarga, Adeline berkata, hidupnya tidak pernah sunyi kerana memiliki ahli keluarga yang besar.
“Saya tidak berasa sunyi walaupun masih belum berkahwin seperti rakan artis seusia yang sudah berkeluarga kerana memiliki 38 anak saudara yang dijaga sejak kecil.
“Saya memiliki tujuh adik-beradik kandung dan adik-beradik angkat pula seramai tiga orang dan menjadikan 10 orang jumlah keseluruhannya. Setiap kali berkumpul, keluarga besar kami memang sangat meriah,” katanya.
Sementara itu, Adeline mengakui wajahnya jarang muncul di televisyen ketika ini.
Pelakon yang bermula dengan drama muzikal Hotel Mania ini berkata, dia juga memilih untuk memberi fokus pada projek filem.
“Fokus saya pada filem berbanding drama. Pada tahun ini, ada tiga filem lakonan saya akan ditayangkan antaranya, Giring yang penggambarannya dilakukan di Sabah.
“Jika tidak berlakon dalam filem Giring, saya sendiri mungkin tidak tahu banyak tempat menarik di Kota Belud,” katanya.
Bagaimanapun, Adeline berkata, dia masih terbuka untuk menerima tawaran berlakon drama jika ditawarkan naskhah yang menarik.
“Saya juga baru selesai menjayakan penggambaran telefilem Direbus Tidak Empuk. Saya melakonkan watak mualaf dan perlu memakai tudung serta banyak menangis.
“Wataknya menarik dan berbeza daripada apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Adeline berkata, dia juga kerap ke luar negara atas komitmen kerjanya sebagai pempengaruh dalam bidang pelancongan.
Selain Eropah, dia juga kerap ke negara Asia seperti Thailand, Korea Selatan dan Jepun.
“Saya bersyukur kerana kerjaya dalam bidang pelancongan ini tidak hanya dapat bayaran lumayan tetapi juga memenuhi impian saya yang suka melancong sejak kecil.
“Walaupun kerap ke luar negara, Malaysia tetap di hati kerana saya memiliki kerjaya lakonan dan rumah di Kuala Lumpur,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




