'Bencana' sotong di jalan raya

Boston: Jalan raya di Rhode Island, Amerika Syarikat bertukar menjadi ‘bencana’ sotong selepas treler muatan hidupan laut itu terbalik di persimpangan Point Judith dan Galilee Escape.

Polis Narragansett berkata, beribu kilogram sotong bertaburan di atas jalan ketika kecelakaan pada Ahad itu dan laluan terpaksa ditutup selama lapan jam untuk pembersihan.

“Sebahagian besar sotong berkenaan tumpah dan bertaburan di atas jalan raya. Namun tiada kecederaan terhadap pengguna jalan raya dilaporkan,” kata kenyataan polis yang dilapor UPI.

Rakaman di lokasi kejadian menunjukkan petugas menggunakan jentera untuk mengangkat dan membersihkan sisa tumpahan treler terbabit.

Pemandu treler turut dikenakan saman kerana membawa muatan yang tidak diikat dengan selamat.

Sementara penduduk pula melaporkan rasa kurang senang dengan bau hanyir susulan lambakan sotong di laluan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top