Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan sebarang tindakan terhadap salah laku dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak seharusnya dilihat sebagai usaha mencari kesalahan terhadap sebuah institusi yang membawa imej Islam.

Memetik laporan Harian Metro, beliau berkata langkah berkenaan diambil bagi mengenal pasti serta memperbetulkan masalah yang berlaku dalam mana-mana agensi kerajaan, termasuk TH.
Menurutnya, kerajaan tidak pernah menjadikan faktor kaum atau agama sebagai asas dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana organisasi di bawah pentadbirannya.
Anwar turut menyatakan rasa kesal terhadap kenyataan segelintir pemimpin Islam yang mengaitkan tindakan terhadap TH dengan kedudukannya sebagai institusi berimej Islam.
“Ada pula pula seorang pemimpin parti Islam kata, asyik hendak kena tindakan ini, kena tindakan kepada badan Melayu dan Islam. Kerajaan ambil tindakan sebab itu di bawah kerajaan.
“Kalau ada kita kenal pasti masalah, kita akan ambil tindakan. Jangan jadikan ini sebagai permasalahan kaum atau agama. Kita ambil tindakan. Kita tidak tanya itu syarikat Melayu ke syarikat kerajaan,” katanya ketika berucap pada sesi ramah mesra Perdana Menteri bersama pengurusan tertinggi dan pengurus FELDA.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang sebelum ini dilaporkan mendakwa isu salah laku dalam TH diperbesarkan kerana institusi berkenaan membawa jenama Islam, sekali gus memberi gambaran negatif terhadap masyarakat Melayu dan Islam.
Hadi juga dilaporkan mengakui wujud penyelewengan serta salah laku dalam institusi kewangan Islam, namun pada masa sama mendakwa kepincangan yang lebih besar dalam institusi perniagaan lain tidak diberikan perhatian yang sama.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata siasatan terhadap TH dan FELDA akan diteruskan secara telus serta disegerakan susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Artikel lain: PM Anwar bakal bertemu Sultan Brunei, isu jerebu dijangka antara agenda perbincangan
Beliau menegaskan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah tanpa mengambil kira latar belakang atau parti politik yang diwakili.
“Yang di-Pertuan Agong menitahkan saya memastikan penyiasatan terhadap TH dan FELDA dan juga FELDA itu dijalankan secara terus-terusan dan segera.
“Kita juga akan melaksanakan tindakan yang tegas terhadap kalangan yang merosakkan, kerana nafsu serakah mereka,” tambahnya lagi.
Sumber: Harian Metro (Suzalina Halid)

