KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras insiden serangan oleh seorang warga asing terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas di Kepong petang tadi.
Dalam kejadian itu, anggota berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun dilapor putus pergelangan tangan kanan akibat ditetak suspek.
Perdana Menteri dalam pada itu mendoakan agar anggota terbabit segera diberikan kesembuhan.
“Sebarang bentuk jenayah dan keganasan, terutama terhadap anggota penguat kuasa yang menjalankan amanah melindungi keselamatan rakyat, sama sekali tidak boleh diterima.
“Tindakan tegas mesti diambil terhadap sebarang perbuatan jenayah tanpa mengira siapa pelakunya demi mempertahankan kedaulatan undang-undang serta menjamin keselamatan anggota penguatkuasa yang bertugas,” katanya.
Terdahulu, BH melaporkan lelaki dipercayai warga asing yang menetak pergelangan tangan kanan anggota polis hingga putus di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong petang tadi maut ditembak.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata suspek ditembak selepas sekali lagi menyerang polis menggunakan sebilah parang ketika dikesan berhampiran sebuah taman permainan, tidak jauh dari pangsapuri berkenaan, antara jam 7.30 hingga 8 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd