Los Angeles: Rekod kebal Sepanyol di Piala Dunia bukan sekadar bergantung kepada kehebatan penjaga gol Unai Simon, sebaliknya hasil disiplin bertahan seluruh pasukan.
Itu penegasan penjaga gol Joan Garcia yang berkata, kekuatan sebenar skuad kendalian Luis de la Fuente ialah kemampuan menghalang lawan daripada mencipta peluang berbahaya.
Sepanyol mara ke suku akhir tanpa melepaskan sebarang gol, manakala Simon mencipta rekod baharu Piala Dunia apabila tidak dibolosi dalam enam penampilan berturut-turut merentasi dua edisi kejohanan.
Garcia, yang menikmati kebangkitan mendadak daripada divisyen kedua Sepanyol kepada penjaga gol utama Barcelona dalam tempoh dua tahun, bagaimanapun masih belum diberi peluang beraksi apabila De la Fuente terus menaruh kepercayaan kepada Simon.
“Secara bertahan kami sangat tersusun. Semua pemain tahu apa yang perlu dilakukan dan itulah sebabnya kami hanya memberikan sedikit peluang kepada lawan.
“Bagi saya, tugas paling penting penjaga gol ialah mencegah bahaya, bukan sekadar menyelamatkan percubaan.
“Menghalang lawan daripada melepaskan rembatan, sama ada menerusi tindakan pertahanan, keluar menangkap bola tinggi atau memintas hantaran lintang, semua itu sama penting walaupun tidak muncul dalam statistik.
“Ia membuktikan pelan permainan kami berfungsi. Pada Piala Dunia, apabila lawan yang berkualiti pun sukar mencipta peluang, ia menunjukkan kekuatan sebenar pasukan,” katanya.
Simon hanya benar-benar diuji ketika kemenangan 1-0 ke atas Portugal pada pusingan 16 terbaik, dengan selebihnya Sepanyol menguasai permainan menerusi penguasaan bola dan organisasi pertahanan yang mantap.
Garcia mengakui lebih gemuruh menyaksikan perlawanan dari bangku simpanan berbanding berada di atas padang.
“Saya rasa lebih gementar di bangku simpanan berbanding bermain.
“Kami cuba membantu Unai dengan apa yang kami nampak dari luar. Jika kami perasan sesuatu mengenai pergerakan penyerang lawan, kami akan berkongsi dengannya,” katanya.
Sepanyol bakal berdepan Belgium pada aksi suku akhir, sekali gus menyaksikan mereka perlu menewaskan antara penjaga gol terbaik dunia, Thibaut Courtois.
Garcia tidak lokek memuji penjaga gol Real Madrid itu.
“Dia sudah bertahun-tahun menjadi antara penjaga gol terbaik dunia.
“Apa yang paling saya kagumi ialah ketangkasannya walaupun memiliki susuk tubuh yang tinggi, selain konsisten mengekalkan prestasi di tahap tertinggi selama bertahun-tahun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




