Bentuk karakter positif anak dengan didikan berhemah

Bentuk karakter positif anak dengan didikan berhemah

amir_hamid@mediaprima.com.my

Dalam era serba moden, ramai ibu bapa tanpa sedar sedang membesarkan anak yang ‘serba ada tetapi serba tidak tahu’.

Tidak tahu menyapu lantai, tidak biasa membasuh pinggan, apatah lagi membantu orang lain tanpa disuruh berkali-kali.

Lebih membimbangkan, sikap ini bukan sahaja membentuk keperibadian di rumah, malah memberi kesan kepada cara mereka berinteraksi dengan masyarakat apabila dewasa.

Justeru, timbul persoalan wajarkah ibu bapa ‘memaksa’ anak melakukan kerja rumah dan aktiviti membantu orang lain?

Hakikatnya, ‘paksaan yang berhikmah’ adalah antara asas penting dalam membina disiplin dan jiwa sukarelawan dalam diri anak.

Ramai pakar perkembangan kanak-kanak berpendapat, pendedahan awal kepada kerja rumah mampu membentuk rasa tanggungjawab, empati dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Apabila anak diminta menyapu sampah, mengemas rumah, membasuh pakaian, menjemur dan melipat kain, membantu memasak atau menghidang makanan, mereka bukan sekadar melakukan tugas fizikal malah sebenarnya mereka sedang belajar tentang kehidupan.

Pada peringkat awal, anak mungkin merungut, enggan atau melengah-lengahkan kerja.

Namun, dengan pendekatan konsisten, paksaan ini akan bertukar menjadi rutin.

Daripada rutin, lahir kebiasaan. Daripada kebiasaan, terbentuklah sikap.

Menariknya, kerja-kerja kecil di rumah sebenarnya menjadi latihan awal kepada pembentukan empati.

Apabila anak terbiasa membantu ibu bapa, mereka akan lebih peka terhadap kesusahan orang lain.

Mereka tidak kekok membantu opah di kampung, ringan tangan menolong jiran, malah tidak malu menyertai aktiviti gotong-royong komuniti.

Di sinilah nilai kesukarelawanan mula berakar.

Sikap ini amat penting dalam masyarakat hari ini yang semakin individualistik.

Anak yang dibesarkan dengan nilai membantu akan melihat kebaikan sebagai tanggungjawab, bukan pilihan.

Dalam mendidik anak, ganjaran boleh menjadi alat berkesan jika digunakan dengan kaedah yang betul.

Ungkapan seperti ‘terima kasih’, ‘bagus’ atau pelukan penuh kasih sayang mampu memberi kesan besar kepada emosi anak.

Sesekali, ganjaran berbentuk kecil seperti wang saku tambahan atau membawanya pergi ke tempat aktiviti kegemaran juga boleh diberikan sebagai penghargaan.

Namun, ibu bapa perlu berhati-hati agar ganjaran tidak bertukar menjadi ‘umpan’.

Jika setiap kebaikan perlu dibayar, anak akan membesar dengan mentaliti transaksi iaitu membantu hanya apabila ada balasan.

Sedangkan matlamat sebenar kita adalah untuk membentuk keikhlasan.

Jelaskan kepada anak, apabila membuat sesuatu kebaikan, ganjaran sebenar menanti di syurga kelak.

Didikan kecil ini sebenarnya adalah pelaburan jangka panjang.

Anak yang dibesarkan dengan sikap ringan tulang berpotensi menjadi individu dewasa yang aktif dalam aktiviti kebajikan, menjadi sukarelawan, malah terus menyumbang kepada masyarakat walaupun sudah meningkat usia.

Tidak mustahil, satu hari nanti, mereka menjadi warga emas yang masih cergas membantu komuniti, menyertai gotong-royong atau menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Semua itu bermula daripada satu perkara kecil, dibiasakan sikap suka membantu sejak kanak-kanak.

Apa yang sering dilupakan ibu bapa, anak bukan sekadar mendengar arahan namun hakikatnya mereka memerhati.

Jika ibu bapa sendiri malas, culas atau tidak peduli terhadap orang sekeliling, sukar untuk anak mengamalkan nilai yang diajar.

Sebaliknya, apabila anak melihat ibu bapa rajin, ringan tulang dan sentiasa membantu orang lain, mereka akan meniru secara semula jadi.

Sebab itu hikmah didikan melalui teladan jauh lebih berkesan berbanding kata-kata.

Kesimpulannya, memaksa anak melakukan kerja rumah dan membantu orang lain bukan satu bentuk penderaan, sebaliknya satu bentuk pendidikan.

Dengan pendekatan yang betul, tegas tetapi berkasih sayang, ia mampu membentuk anak menjadi insan berdikari, berempati dan berjiwa sukarelawan.

Ini kerana, di sebalik setiap pinggan dibasuh dan setiap inci lantai disapu bersih, sebenarnya sedang terbina satu karakter besar yang bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri, tetapi juga kepada masyarakat sepanjang hayat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top