Berang minyak peket dijual kepada warga asing, lelaki pukul penyelia wanita

Berang minyak peket dijual kepada warga asing, lelaki pukul penyelia wanita

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kajang: Lelaki tempatan memarahi dan memukul seorang wanita yang juga penyelia sebuah sebuah pusat membeli-belah di Bandar Rincing, Semenyih, di sini, Ahad lalu selepas dipercayai tidak berpuas hati dengan jualan minyak peket kepada warga asing.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa pada 6.50 petang, Ahad lalu.

Menurutnya, suspek dipercayai mengamuk dan memaki hamun mangsa kerana tidak berpuas hati dengan jualan minyak peket kepada warga asing.

“Wanita itu cuba menenangkan suspek tetapi lelaki itu bertindak menyerangnya dari arah belakang lalu memukul belakang kepala wanita itu dengan menggunakan tangan sebelum beredar dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin berusia 38 tahun kemudiannya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada Selasa lalu.

“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod (kesalahan) dadah dan dia diberi jamin polis, semalam selepas reman dibenarkan selama satu hari oleh mahkamah,” katanya.

Naazron berkata, kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pihaknya sudah mendapat arahan untuk tindakan lanjut.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Bangi pada 9 pagi, esok. Dia akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan diberi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menggunakan perkataan yang kurang sopan.

“Jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 323 KK, saspek boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali. Manakala bagi Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top