Beranikah Pas tarik balik Amanat Hadi 1981 demi UMNO? – Amanah

KUALA LUMPUR – Pas dipersoalkan sama ada parti itu berani untuk menarik balik fatwa yang pernah ‘mengkafirkan’ UMNO menerusi Amanat Haji Hadi pada 1981 sekiranya benar-benar ikhlas mahu menghidupkan perpaduan ummah.

Setiausaha Pemuda Amanah, Ahmad Shahir Mohd Shah menegaskan, beliau tidak berasakan Pas akan menarik atau sekali-kali akan menyebut tentang fatwa itu lagi.

“Tetapi, saya lihat mereka akan konsisten menyebut tentang perjuangan agenda Melayu-Islam yang tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk merampas kuasa daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub sebelum ini berkata, sehingga sekarang sebenarnya amanat itu tidak pernah ditarik balik sehingga menyinggung sebahagian besar jiwa orang UMNO.

Beliau malah berkata, pemimpin Pas sudah tidak boleh dipercayai kerana hanya menaburkan janji manis ketika berada dalam keadaan terdesak.

Dalam pada itu, Ahmad Shahir turut hairan apabila Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan Pas dan UMNO mempunyai persamaan dari sudut akidah dan kepentingan umat Islam perlu menjadi asas kepada usaha membina jambatan kerjasama serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan generasi muda.

“Saya tidak merasakan ‘akidah’ antara Pas dan UMNO itu sama. Maksudnya, UMNO sendiri sudah mengakui akidah perjuangan mereka sama dengan Pas, namun sebenarnya pegangan mereka itu masih lagi dilihat berbeza. Kalau tengok kepada dasar-dasar mereka hanya menyebut tentang Islam tetapi Islam yang difahami atau yang dibawa oleh Pas itu berbeza seperti mana juga dengan UMNO.

“Kalau mereka kata akidah mereka sama, maka perjuangan Islam-Pas itu mesti sama dengan perjungan Islam-UMNO. Jadi sebenarnya itu adalah jurang yang sukar untuk mereka satukan. Apa yang mereka boleh satukan ialah misi untuk mendapatkan tampuk kuasa dan kalau kata apakah mereka akan menarik balik fatwa, saya lihat dalam Muktamar kali ini tak nampak lagi ada ada usaha-usaha itu ataupun didesak oleh pewakilan.

“Cuma saya nampak mereka sekarang ini bercakap tentang kuasa. Kalaulah Pas menarik balik mungkin kesannya tidaklah begitu besar kerana sudah ada persetujuan yang mereka letak iaitu mereka mahukan kuasa yang terletak kepada kuasa Melayu, bukan lagi atas nama Islam,” katanya,

Kata Ahmad Shahir lagi, sebagaimana yang diketahui UMNO dengan perjuangan Melayunya dan Pas dilihat dengan perjuangan Islamnya tetapi kedua-duanya ada agenda tersendiri.

“Kedua-dua parti mahu mengekalkan kerusi-kerusi Parlimen dan DUN. Itu sahaja matlamatnya, cuma kalau tanya saya apakah Pas menarik balik fatwa, saya tak nampak usaha itu akan dibuat,” tegasnya. – Awani

Scroll to Top