Beraya di luar negara, Marsila seloroh mahu elak soalan 'cepumas'

Beraya di luar negara, Marsila seloroh mahu elak soalan 'cepumas'

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Tahun ini pertama kali saya beraya di luar negara. Tidaklah jauh, di Bali (Indonesia) sahaja,” kata Marsila Hassan, 36, apabila ditanya mengenai sambutan Aidilfitrinya.

Penyampai radio Kool FM ini secara bergurau turut memberitahu, ada tujuan lain dia membuat keputusan pada saat akhir ini.

“Saya sengaja nak tukar angin dan mungkin juga nak elak jawab soalan “bila nak kahwin semula?” katanya.

Mengulas kerjayanya sebagai penyampai radio dan pengacara majlis, Marsila tetap bersyukur dengan rezeki yang diperolehinya.

“Alhamdulillah… tidaklah serancak mana tapi setiap bulan dapat juga ‘job’ sebagai emcee (pengacara majlis). Seminggu atau dua minggu dalam sebulan, menjalankan tugas di radio.

“Ekonomi pula perlahan-lahan makin stabil. Kalau sebelum ini saya banyak berbelanja benda yang tak perlu. Tapi sekarang, bila dah umur begini, dah mula sedar nak berjimat.

“Separuh duit hasil pendapatan saya simpan untuk hari tua. Kalau kawan-kawan nak pinjam duit pun sekarang ini saya dah keraskan hati, tak nak bagi. Belajar dari pengalaman,” katanya.

Terdahulu, Marsila pernah berdepan pengalaman meminjamkan wang lebih RM100,000 kepada seorang rakannya yang gagal memulangkannya semula.

Dia yang mengharapkan wangnya dikembalikan, mahu bekerja keras mencari tawaran kerja selepas ini.

“Saya juga nak belajar sesuatu yang baharu selepas ini. Saya ada perancangan nak pergi kelas masakan dan kelas membuat roti untuk tambah kemahiran.

“Manalah tahu, kalau itu boleh menjadi sumber pendapatan tambahan nanti?,” katanya yang sebelum ini pernah bergelar penyampai berita di TV3.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top