Kehidupan ini ibarat putaran roda. Ketika anak-anak kecil, ibu bapalah yang berusaha untuk menjaga dan menguruskan mereka. Namun, setelah cahaya mata meningkat dewasa, giliran mereka pula merawat orang tua yang kian dimamah usia.
Akan tetapi, tidak semua anak-anak mempunyai rezeki menjaga ibu dan bapa ketika melewati hari tua kerana pelbagai komitmen lain.
Walau bagaimanapun, jika mempunyai sebuah keluarga yang harmoni dan saling mengambil berat, pasti akan ada yang menggalas tugas tersebut dengan sokongan adik-beradik yang lain.
Hal ini samalah seperti perkongsian seorang pengguna TikTok apabila memuat naik video mengharukan dengan membuat kejutan kepada kakaknya yang sudi menjaga ibu mereka sejak 4 tahun lalu.
@zaitonmohamad448
Dalam video yang dikongsikan, pada awalnya mereka telah membuat majlis doa selamat kepada jemaah umrah yang akan menunaikan ibadah tersebut tidak lama lagi.
Namun, apa yang membuatkan ramai sebak adalah nama kakak mereka diumumkan beserta banner memaklumkan yang adik bongsu mereka telah menaja kakak yang menjaga ibu untuk menunaikan umrah.
Sebenarnya, tiada seorang pun yang tahu hal tersebut termasuklah ibu mereka sendiri sehingga masing-masing berpelukan selepas khabar gembira itu dimaklumkan.
Hadiah berkenaan adalah salah satu penghargaan kerana sudi menjaga ibu mereka sejak tahun 2017 lagi. Jadi, pakej umrah tersebut sedikit sebanyak dapat membuatkan kakaknya berasa bahagia.

Sehubungan dengan perkongsian tersebut, rata-rata warganet telah meninggalkan komen dengan mengakui turut berasa sebak apabila adik bongsu tetap mengingati insan yang sudi menjaga ibu mereka ketika adik-beradik yang lain tidak mempunyai rezeki merawat warga emas itu.
Mereka juga sempat mendoakan agar keluarga tersebut dimurahkan rezeki dan mengucapkan tahniah kepada adik bongsu kerana membahagiakan seorang kakak yang telah banyak berkorban.






Sumber: TikTok @zaitonmohammad448




