redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuantan: “Saya berpegang dengan pesanan emak (Rozita Mohd Gazali, 49), sentiasa mudahkan urusan orang lain dan itu yang cuba saya lakukan semalam tanpa terfikir apa dilakukan itu akan mendapat perhatian ramai.”
Itu kata Tuan Nurhan Syafiy Tuan Nor Azham Shah, 23, atau mesra disapa Tuan yang muncul wira di jalan raya selepas membantu mengawal lalu lintas hingga membolehkan sebuah ambulans yang membawa pesakit melepasi kesesakan lalu lintas.
Menerusi perkongsian video tular, kelihatan Tuan memberhentikan motosikal ditunggangnya di tengah jalan raya yang sesak dengan kenderaan di laluan kiri dan kanan sebelum mengawal lalu lintas.
Meninjau ruangan komen, rata-rata warganet memuji tindakan pantas Tuan dan keberanian pemuda itu kerana memudahkan urusan ketika detik mencemaskan.
Menceritakan kisah sebenar, Tuan berkata, insiden itu berlaku kira-kira jam 5.15 petang di Jalan Gambang-Kuantan, Pahang ketika dia dalam perjalanan pulang ke asrama selepas menghadiri latihan pengendalian dron di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Katanya, ketika itu, jalan raya sesak dan dia mahu singgah ke stesen minyak berhampiran bagi mengisi petrol.
“Waktu itu, ada sebuah ambulans melalui jalan sama awalnya tak terfikir nak membantu namun ternampak wajah gelisah pemandunya membuatkan saya terpanggil untuk hulurkan bantuan.
“Lagipun, tiada kenderaan memberi laluan ketika itu dan laluan berkenaan agak sesak kerana waktu puncak.
“Jadi tanpa berlengah, saya terus berhentikan motosikal kemudian bantu dengan beri isyarat tangan supaya kenderaan lain ke tepi bagi memberi laluan kepada ambulans berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Tuan, dia bersyukur kerana pemandu kenderaan lain memberi kerjasama hingga membolehkannya membantu ambulans berkenaan bergerak.
“Jujurnya saya menangis waktu mengiringi ambulans itu dan berdoa semoga pesakit di dalamnya selamat tiba di hospital.
“Syukur semuanya dipermudahkan malah lampu isyarat pun hijau hingga membolehkan saya membantu mengiringi ambulans melepasi kesesakan jalan.
“Puas rasanya dapat membantu kerana sebelum ini, saya pernah berada dalam situasi sama tapi tak dapat tolong dan ada rasa menyesal selepas dapat tahu pesakit dalam ambulans itu meninggal dunia dan dia adalah ayah kepada rakan saya.
“Disebabkan itu, saya cuba juga untuk bantu semalam kerana tak nak menyesal buat kali kedua walaupun takut berbuat demikian sebelum ini kerana bimbang disalah erti,” katanya.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia tidak menyangka video berkenaan akan tular di media sosial namun terharu kerana banyak menerima kata positif dan doa daripada warganet.
“Saya ada akaun Threads sebelum ini tapi tak pandai guna sangat jadi terkejut bila dapat tahu video itu tular di platform berkenaan.
“Difahamkan, individu berkongsi video tular itu ialah doktor dalam ambulans berkenaan dan beliau pun sudah hubungi saya menerusi kiriman mesej di Threads.
“Saya sekadar membantu setakat yang termampu tapi ramai mendoakan dan beri kata positif jadi ia membuatkan saya berasa sangat bersyukur.
“Saya bukan orang pandai jadi mungkin asbab doa mereka, saya dapat berjaya dan kuat menghadapi semester akhir pengajian yang sangat sibuk dengan banyak projek,” katanya yang berhasrat melawat pesakit berkenaan jika ada kesempatan.
Tuan yang juga penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Visual di sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) berkata, dia sedia membantu mereka yang memerlukan pada masa akan datang jika diizinkan Allah SWT.
“Selepas SPM, saya aktif dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan banyak terbabit dengan aktiviti kebajikan serta kerja kemasyarakatan.
“Moto NGO itu adalah setiap mukmin berjaya perlu memberi manfaat kepada orang lain… itu yang saya pegang sampai sekarang.
“Lagipun, emak seorang jururawat dan banyak membantu orang lain jadi itu yang menjadi ikutan saya daripada dulu hingga kini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




